Wednesday, November 30, 2022

Kita tidak akan desak PM untuk lebih calon wanita – Fatimah

Secara Rawak

KUCHING: ” Wanita PBB Sarawak menyasarkan peningkatan jumlah calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang, tetapi tidak akan mendesak untuk pertambahan calon.

“Itu bukan budaya dan cara kita. Cara kita (dalam PBB) adalah konsensus.

“Dan ia adalah kuasa ‘pregrogratif’ Pengerusi Barisan Nasional, yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang kami tidak akan melangkauinya,” kata Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang baharu, Datuk Seri Fatimah Abdullah semalam.

Beliau menjawab soalan media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tertinggi Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di pejabatnya di Baitulmakmur di sini.

Pun begitu katanya, pihaknya akan terus menggerakkan usaha ke arah menyediakan calon wanita yang berwibawa melalui program-program bina upaya dan pemerkasaan.

“Pendirian kita…30 peratus wanita dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan di negara ini, dan ini termasuk dalam arena politik.

“Kita belum mencapai tahap itu dan untuk pilihan raya, dan kita boleh sentiasa meminta.

Keputusan akhir tegasnya, adalah di tangan Perdana Menteri sebagai ketua Barisan Nasional.

“Kita hanya mampu berusaha dan berdoa.

Jelasnya, Wanita PBB sendiri tidak akan menghantar atau memutuskan senarai nama untuk ketika ini.

Ketika ini wakil PBB dalam Dewan Rakyat ialah Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri; Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman.

Mereka merupakan empat daripada 14 wakil PBB dalam Parlimen Malaysia. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru