Khairy perlu mohon maaf kepada Anwar

0
8

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar  perlu segera memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnahnya pada 2008, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Gesaan itu dibuat Nik Nazmi selepas keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang memutuskan Khairy kekal bersalah memfitnah Anwar

“Kami mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam saman Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Persekutuan Khairy Jamaluddin di atas kenyataannya terhadap Anwar dalam ceramah di Lembah Pantai pada 2008,” katanya dalam satu kenyataan.

“Keputusan ini membuktikan serangan jahat terhadap Anwar adalah hanya fitnah,” katanya lagi.

Justeru, ujar, Nik Nazmi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu,  Khairy perlu meminta maaf kepada Anwar dan seluruh rakyat Malaysia kerana ucapan berniat jahat dan tidak beradab itu.

Khairy didapati bersalah oleh mahkamah pada September 2017 kerana memfitnah Anwar pada 2008.

Mahkamah Rayuan kelmarin menolak rayuan Khairy yang diperintah membayar ganti rugi RM150,000 dan kos RM60,000 kepada Anwar kerana memfitnahnya. –Sarawakvoice