MIRI: “SUPP telah pulih. Oleh kerana SUPP telah pulih, kita perlu pulihkan Miri,” kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg semasa menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Miri.

Abang Johari melihat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berupaya merampas semula kerusi Parlimen Miri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Abang Johari berkata, dengan dikuasai Barisan Nasional (BN), lebih banyak pembangunan memberi manfaat kepada penduduk Miri dapat dilaksanakan.

Pada majlis tersebut, Abang Johari yang juga pengerusi BN Negeri bersetuju dengan cadangan Datuk Bandar Miri Adam Yii, agar mendirikan dewan bandar raya di Miri.

Sementara, industri pelancongan Miri juga akan dibangunkan.

Menurut beliau, dengan sokongan BN potensi besar industri minyak dan gas dapat dikembangkan.

Ini sekali gus menurut beliau, dapat membantu menjana pembangunan ekonomi Miri dan demi masa depan warga Miri sendiri, bukan untuk kepentingan beliau atau Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.

“Kita bantu membangunkan Miri, tetapi harus mendapat lebih banyak peruntukan. Sekiranya kita mendapat hak minyak kita, kita akan gunakan untuk bangunkan Miri,” tambah Abang Johari. 

Pada PRU13 pada 2013, Miri sebagai kubu kuat BN sebelum ini kalah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam merebut semula Miri, Abang Johari mengucap tahniah kepada Sim kerana berjaya meningkatkan keyakinan rakyat semula terhadap kepemimpinan SUPP. –Sarawakvoice