Mayat lelaki warga emas yang hilang selepas angkat jaring di Sungai Balleh ditemui

0
7

KAPIT: Kehilangan seorang warga emas di Sungai Balleh yang dilaporkan semalam terjawab apabila mayatnya ditemui orang awam sekitar jam 9.00 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut setelah dimaklumkan pihak polis sekitar jam 9.20 pagi tadi.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kemudian terus diatur gerak ke lokasi mayat mangsa ditemui.

“Mereka tiba di lokasi pada jam 11.00 pagi dan bergerak membawa mayat mangsa balik ke Kapit, 17 minit kemudian.

“Bot tiba di jeti Kapit pada jam 12.30 tengah hari dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR untuk hari kedua sebelum itu digerakkan pada awal pagi tadi melibatkan bot penyelamat Bomba dan Polis.

Kehilangan mangsa Reba Gawing, 63 tahun pada Sabtu lalu dilaporkan oleh anaknya, Nur Shafiqa Pelaga Reba setelah mangsa pada jam 6 petang sebelumnya gagal pulang setelah pergi seorang diri ke Sungai Balleh untuk mengangkat jaring.

Pencarian yang dilakukan oleh penduduk kampung pada malam itu hanya menemui perahu dan enjin sangkut milik mangsa di tebing sungai, menyebabkan ahli keluarganya kemudian bertindak membuat laporan polis. –Sarawakvoice