Lelaki maut kereta rempuh belakang treler minyak sawit di Tatau

0
3

TATAU: Gagal mengawal kenderaan menjadi punca seorang lelaki maut selepas melanggar bahagian belakang sebuah treler di Jalan Tatau-Bintulu, berhampiran Selitut pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.01 pagi dan sebuah jentera Atego dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau segera diatur gerak ke lokasi.

“Setiba di lokasi 14 minit kemudian, pasukan melaporkan kemalangan melibatkan sebuah treler minyak sawit yang dilanggar belakang oleh sebuah kenderaan jenis Proton Wira.

“Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut bergerak dari arah Tatau menuju Bintulu.

Kesan pelanggaran tersebut kata Ling Hii, mangsa di dalam kenderaan Proton Wira telah tersepit di bahagian tempat duduk hadapan.

“Mangsa bagaimanapun telah diisytihar meninggal dunia oleh pasukan paramedik sejurus tiba di lokasi.

Pasukan penyelamat jelasnya, kemudian menggunakan peralatan ‘hydraulic resque tool’ untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang remuk, sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.45 pagi,”katanya.

Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Sia Sung Hung, 27 tahun dari Jalan Sena, Sibu.

Pemandu treler yang berasal dari Selangau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. –Sarawakvoice