LANGKAWI: Lapan puluh sembilan daripada lebih 500 pelancong yang terkandas selepas kereta kabel Langkawi SkyCab mengalami masalah teknikal petang tadi selamat tiba di stesen di Oriental Village di sini kira-kira 9.30 malam semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin berkata 89 pelancong itu terkandas dalam kereta kabel apabila sistem mengalami kerosakan kira-kira 5.48 petang semalam.

“Tiga lagi kereta kabel membawa 18 pelancong sedang bergerak ke bawah selepas tersangkut kira-kira empat jam antara “middle station” dan base station,” kata beliau kepada Bernama semalam.

Beliau berkata pasukan teknikal Panorama Langkawi Sdn Bhd, anak syarikat LADA dan pengendali sistem kereta kabel itu, terpaksa menggunakan usaha secara manual untuk menggerakkan sistem bagi kereta kabel tersebut turun ke base station.

“Pasukan teknikal mengandungi 12 orang bersama dua anggota bomba dan penyelamat telah berada di middle station untuk menggantikan sistem yang gagal berfungsi yang menjadi punca sistem itu mengalami kerosakan,” kata beliau.–BERNAMA