Wednesday, December 7, 2022

 Ismail mahu KDN dan SKMM bertindak tegas terhadap kebiadapan Namewee

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas terhadap Wee Meng Chee atau Namewee.

Baru-baru ini, Namewee memuat naik video kontroversi “Like A Dog” di media sosial atas nama kreativiti dan seni.

Ismail bimbang video memaparkan sekumpulan individu memakai topeng anjing dengan aksi tarian lucah berdekatan Perdana Putra dan Masjid Putrajaya menimbulkan ketegangan kaum dan merosakkan keharmonian rakyat.

“Kalau dia nak menari seperti dalam video klip itu pun, pergilah dalam hutan,” getus anggota Majlis Tertinggi Umno itu, menambah, “kenapa mesti buat (video klip) depan masjid?”

Ismail menyifatkan perbuatan Namewee itu sudah melampau dan paling biadap.

“Kita ada undang-undang dan kita tidak boleh biarkan perkara ini… kalau dibiarkan, dia mungkin buat lebih teruk lagi,” kata Ismail.

“Dia cuba membuat provokasi melampau terhadap umat Islam…menari depan masjid, bagi saya, dia mencabar kita sebagai umat Islam di negara ini,” kata Ismail selepas menghadiri majlis ramah mesra dan kenduri kampung di pekarangan Surau Paya Mengkuang Ladang pada Ahad.

Bagi Ismail, Namewee seperti sengaja mencabar pihak berkuasa agar mengambil tindakan terhadapnya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru