Saturday, June 25, 2022

Abdul Hadi: PAS sasar menang paling kurang 40 kerusi

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Keputusan PAS untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah berdasarkan maklumat semasa daripada akar umbi di setiap kawasan dan cawangannya di seluruh negara, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, tujuan utama PAS menyertai pilihan raya adalah untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat selain mahukan kemenangan di dunia sebagai anugerah dan janji Allah.

“PAS menawarkan manifesto Malaysia yang sejahtera bersama tawaran penyelesaian, terpulang kepada rakyat untuk menentukan pemilihan mereka. Kita mengharapkan rakyat dapat memberikan sokongan sama ada kita memimpin kerajaan atau menjadi parti yang berpengaruh dapat memberi nasihat dan mempengaruhi kerajaan,” katanya dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia, semalam.

Oleh itu, kata Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang itu, jumlah kerusi yang ditandingi PAS sangat realistik dengan jumlah kawasan yang PAS ada sekarang sebanyak 196 kawasan daripada 222 kerusi parlimen dan 7,063

“Cawangan, kita ada kekuatan jentera yang cukup dan calon berkaliber daripada pelbagai latarbelakang untuk bertanding PRU-14,” katanya.

“PAS bertanding untuk membuat perubahan dasar dan sistem kepada penyelesaian Islam. PAS masuk pilihan raya bukan sekadar untuk menang kerusi sahaja tapi kita mahu menang bersama Islam yang didukung,” katanya lagi.

Ujarnya, sama ada PAS menjadi kerajaan memerintah atau pembangkang yang menasihat, PAS berhasrat menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah dasar negara dan urus tadbir sesuai dengan penuh berhikmah dan matang.

“Selain itu PAS sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk menang paling kurang 40 kerusi. Dengan kemenangan itu PAS ada pengaruh untuk menentukan kerajaan dan mencapai matlamat perjuangan Islam,” katanya dalam temu bual berkenaan.

Mengulas tentang jangkaan bahawa PAS tidak akan mampu menang besar tanpa bekerjasama dengan Pakatan Harapan, beliau berkata, bahawa parti Islam itu berpijak di atas kekuatan dan jentera sendiri, bukan menumpang parti lain.

“Kita mempunyai pengalaman yang panjang dalam senario politik dalam negara., pernah bersendirian, pernah bertahaluf dengan pihak lain,” ujarnya.

“Kita ada pusat penyelidikan yang membuat kajian secara terperinci dan turun ke lapangan dengan menilai kerusi-kerusi yang kita yakin boleh menang. Kajian kita bukan sekadar duduk dalam bilik berhawa dingin di atas meja sahaja. Jentera kita bergerak membuat culaan kecenderungan pengundi,” katanya.

“Namun kita tidak merasa selesa, bahkan kita minta jentera setiap negeri, kawasan dan cawangan tingkatkan lagi usaha dan gerak kerja supaya matlamat menang 40 kerusi berjaya dicapai,” jelasnya.

Abdul Hadi berkata, PAS yakin dengan pendekatan berkenaan, ia berjaya mengurangkan ketegangan dan mudah mendekati pengundi.

“PAS dan Gagasan Sejahtera adalah pilihan terbaik dan alternatif kepada pengundi yang tidak suka kepada BN atau PH, untuk buat perubahan negara ke arah lebih baik,” katanya merujuk kepada parti pemerintah, Barisan Nasional, dan pakatan pembangkang, Pakatan Harapan.–Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru