Wednesday, December 7, 2022

Lagu dituduh menghina, Namewee dinasihat jangan berperangai anjing

Secara Rawak

SHAH ALAM: Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii mengecam pemuzik kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee dan menasihatkan agar dia tidak mengikut “perangai anjing”.

Razlan merespons klip video terbaru Namewee bertemakan Tahun Baru Cina “Like A Dog” berlatar belakangkan masjid dan anjing dianggap tidak menjaga sensitiviti serta menghina rakyat di negara ini.

Namewee memuat naik video berdurasi 3:15 saat di Youtube menampilkan dirinya berlatar belakangkan beberapa penari berbaju hitam memakai topeng anjing.

Lagu itu dirakam di kawasan lapang berlatarkan bangunan kediaman perdana menteri di Putrajaya menampilkan beberapa orang penari membuat aksi bertopengkan muka anjing.

Namewee yang duduk di atas kerusi di tengah-tengah, menyanyi menyerupai cara anjing menyalak di setiap negara berbeza seperti Amerika, Korea, Jepun, India dan menyindir cara anjing Malaysia menyalak, “Mari mari wang wang”.

Di akhir klip, kedengaran bunyi kereta peronda, lalu penari dan Namewee berlakon seolah-olah melarikan diri dari kawasan itu.

Video dimuat naik 10 Februari lalu itu sudah dikongsi lebih 12,000 kali dan ditonton lebih 550,000 kali di Youtube.

Razlan dalam kenyataannya menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat klip video dan mengambil tindakan wajar terhadap Namewee yang dianggap menghina itu.

“Saya percaya perbuatan jijik dan tidak bertanggungjawab Namewee ini tidak mendapat sokongan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini,” ujar Razlan.

Namewee sebelum ini pernah mencetus kontroversi melalui  lagu “Negarakuku” yang diubah suai dari lagu kebangsaan, selain lagu “Oh My God”.

Sementara itu, Namewee dalam kenyataan disiarkan di Youtube berkata, video Tahun Baru Cina yang dibuatnya itu hanyalah hiburan semata-mata. –Sarawakvoice 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru