Tuesday, June 28, 2022

Kedudukan PAS di Kelantan tergugat di tujuh kerusi

Secara Rawak

Satu daripada negeri yang menjadi sasaran Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang ialah Kelantan.

Pada PRU lalu, PAS menguasai 31 kerusi DUN Kelantan daripada 45 kerusi keseluruhan, manakala UMNO/BN memenangi 12 kerusi. Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masingnya satu kerusi.

Persoalannya, mampukah BN menambah jumlah kerusinya dalam PRU-14 nanti? Atau adakah PAS akan tewas di beberapa kerusi, disebabkan sokongan terhadapnya sudah terhakis ekoran beberapa pemimpin dan sebahagian ahlinya telah keluar parti dan menubuhkan Amanah?

PAS wajar berasa risau kerana  tujuh kerusi DUN dimenanginya dengan majoriti kecil pada 2013.

Kerusi berkenaan ialah Jelawat sebanyak 102 undi, Gaal (302 undi), Gual Periok (615 undi), Pulai Chondong (919 undi),  Wakaf Baru dan Tendong masing-masingnya 978 undi.

Majoriti kecil berkenaan membayangkan kedudukan PAS di kerusi itu tidak selamat.Memang, ada sebab untuk parti Islam itu berasa risau dan gundah menjelang PRU ini lebih-lebih lagi kini pemimpin terbilangnya Datuk Nik Aziz Nik Mat sudah tiada.

Nik Aziz meskipun tidak banyak membawa pembangunan, namun dilihat sebagai pemimpin yang berwibawa kerana bersih daripada salah guna kuasa dan rasuah. Beliau merupakan suri teladan. Pemimpin politik yang memiliki personaliti dan perwatakan sedemikian jarang-jarang dapat ditemui pada hari ini.

Di atas kertas, memang sukar bagi PAS untuk memenangi kerusi terbabit lebih-lebih lagi jika prestasi penyandangnya tidak menyerlah sepanjang lima tahun lalu.

Persoalannya, mampukah UMNO menampilkan calon yang lebih hebat daripada calon PAS? Jika UMNO mengemukakan calon yang berintegriti tinggi dan disenangi rakyat, inilah masanya PAS untuk mengucapkan selamat tinggal.

PAS tentunya akan berada dalam keadaan yang terkapai-kapai jika terdapat pertandingan tiga penjuru. Ini kerana penyokongnya akan berpecah dua, iaitu sebahagian menyokong parti itu, dan sebahagian lagi menyokong pemimpin yang telah keluar.

PAS yang telah berkuasa di Kelantan sejak 1990, tidak dinafikan mempunyai pengaruh dominan di negeri pantai Timur itu. Lebih-lebih lagi, dengan jumlah pengundi Melayu yang begitu tinggi, sebanyak hampir 95 peratus. Hanya sekitar 35,000 pengundi Cina terdapati di Kelantan.

Jadi, PAS harus ingat, pengaruhnya sudah terhakis, dan BN sedia untuk merampas balik kerusi yang dimenanginya.

Atau akan berlaku kerjasama PAS-UMNO dalam  PRU ini nanti, dan seterusnya mereka akan mewujudkan kerajaan campuran.

Atau adakah UMNO akan memenangi Kelantan nanti? UMNO pernah memerintah negeri itu dari 1978 hingga 1990.

Jadi, bukan mustahil UMNO juga dapat merampas kembali negeri itu pada PRU-14. –Sarawakvoice

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru