KUCHING: Bekas Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan Hong Nam menggesa agar SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) mengetepikan perbezaan dan perasaan peribadi mereka bagi memastikan SUPP semakin kukuh dan bersatu.

Mantan Timbalan Ketua Menteri itu berkata, beliau bersedia menjadi orang tengah untuk kedua-dua parti itu bagi memastikan ia mempunyai suara yang lebih kuat untuk menuntut hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di kediamannya ketika mengadakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di sini, semalam.

Beliau menyambut kunjungan Yang di-Pertuan Negeri Tun Taib Mahmud dan isteri serta Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan keluarga.

Beliau berkata, dengan SUPP sebagai parti tertua di Sarawak menjadi lebih kuat, ia akan dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih baik.

Abang Johari dalam ucapan di majlis perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 11 Februari lalu, meminta kedua-dua parti terbabit supaya melupakan perbalahan demi perpaduan kepada Barisan Nasional (BN) Negeri memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Parti satu itu, pakailah baju kuning semua, jadi kita bersatu. Apabila bersatu, parti kita kuat dan Sarawak juga kuat…” ujarnya yang juga Pengerusi BN Negeri merujuk kepada UPP supaya kembali ke pangkuan SUPP.

Pada pilihan raya umum lalu, SUPP hanya memenangi satu daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.

Kerusi berkenaan ialah Serian, iaitu kawasan majoriti Bidayuh yang diwakili oleh Datuk Seri Richard Riot.

Ujarnya, beliau menyokong kuat kepemimpinan Presiden Datuk Dr. Sim Kui Hian dan pasukannya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di rumah terbuka Tahun Baharu Cinanya di sini semalam Dr Sim percaya bahawa SUPP dapat menyapu bersih tujuh kerusi dalam PRU-14 nanti.

Kerusi berkenaan ialah Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang, dan Miri.
Namun, SUPP dan UPP berbalah di Lanang dan Sibu dalam usaha untuk mewakili kerusi berkenaan. –Sarawakvoice