Monday, December 5, 2022

Saifuddin: Pastikan setiap perbezaan agama dan fahaman politik dihormati

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Perpaduan sesama rakyat Malaysia perlu dijalin demi kemaslahatan negara dan seterusnya berhasrat untuk menjadikan negara ini sentiasa makmur, bebas daripada rasuah dan rakyatnya hidup dalam kerukunan serta harmoni, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Justeru, menurut Datuk Saifuddin Nasution Ismail bersempena sambutan Tahun Baru Cina ini, beliau menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus beriltizam meneruskan usaha bagi memastikan setiap perbezaan agama dan fahaman politik dihormati sewajarnya diketepikan dan titik persefahaman perlu dicapai demi merealisasikan matlamat ini.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Tahun Baharu Cina yang mulai diraikan masyarakat Cina pada hari ini.

“Pada kesempatan ini, saya mewakili pimpinan KEADILAN mengucapkan Xin Nian Kuai Le dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat berketurunan Cina di Malaysia. Semoga sambutan tahun baru kali ini dapat memberikan kebahagiaan dan kegembiraan,” katanya.

Beliau mengingatkan agar rakyat sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan tindakan yang boleh membawa kepada ketegangan terutamanya apabila isu-isu berkaitan dengan kaum dan agama cuba dipermainkan.

“Suka saya menegaskan bahawa tiada sebarang ruang untuk prejudis perkauman dan perbalahan agama berlaku di negara ini dan saya sentiasa berdoa agar keharmonian akan kekal utuh,” katanya lagi.

“Wajar diketahui bahawa Pakatan Harapan sentiasa menzahirkan perpaduan melalui perkongsian kuasa antara parti-parti komponen – KEADILAN, AMANAH, DAP, PPBM – sebagai usaha untuk mentadbir negara ini menjadi lebih baik berbanding pemerintahan BN demi keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyatnya,” katanya.

“Usaha ini tidak sekali-kali akan menggugat kedaulatan Sultan Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera lain,” katanya dalam perutusan itu. –Sarawakvoice 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru