Saturday, December 3, 2022

Xavier: Tak guna tanding banyak kerusi jika tewas dalam PRU

Secara Rawak

SHAH ALAM: Kekal fokus untuk pertahankan Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Itulah seruan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan Selangor, Dr Xavier Jayakumar

ketika isu agihan kerusi terus belum dapat diselesaikan dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan itu.

Pakatan Harapan terdiri daripada DAP, PKR, Bersatu dan Amanah. Pas tidak lagi menyertai pakatan pembangkang yang sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Dr Xavier berkata demikian sewaktu mengulas situasi terkini rundingan pembahagian kerusi di Selangor yang dijangka dimuktamadkan pada hujung Februari.

“Perbincangan masih berjalan dan sebarang rundingan akan diselesaikan sebelum penghujung Februari ini,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas itu, lapor Selangorkini.

“Tak guna bertanding banyak kerusi jika faktor kemenangan itu tipis. Matlamat utama kita bertanding adalah untuk mempertahankan kemenangan di Selangor,” katanya.

“Semua pihak berhak mengemukakan bilangan kerusi namun tujuan kita nak menang.

“Kita berpegang teguh dengan saranan Pengerusi Harapan Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk meletakkan calon yang ada keupayaan untuk menang,” katanya.

Rundingan kerusi Pakatan Harapan Selangor sepatutnya dimuktamadkan pada 31 Januari lalu.

Difahamkan DAP menuntut untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dengan bertanding di 23 kerusi.

Tuntutan berkenaan tidak disenangi parti komponen lain dalam Pakatan Harapan.

Sumber menyatakan terdapat pertindihan tuntutan dalam kalangan parti terbabit. –Sarawakvoice 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru