Friday, August 19, 2022

Sarawak guna sistem pintar, teknologi tinggi untuk urus sukan dan stadium — Snowdan

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak bakal muncul negeri pertama di Malaysia yang memiliki kaedah pengurusan sukan dan stadium secara digital, kata Menteri Muda Belia dan Sukannya,
Datuk Snowdan Lawan.

Menurutnya, pengurusan yang berteraskan sistem pintar berteknologi tinggi ini, diyakini akan mengukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai ‘kuasa sukan’ di negara ini.

“Dalam tempoh terdekat pula, negeri ini akan mempunyai pusat sukan berprestasi tinggi dan ini diharap dapat membakar semangat atlet untuk lebih berjaya,” jelasnya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan rasmi ke Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, beliau meneroka peluang untuk bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkemuka di dunia untuk membangunkan stadium pintar dan pengurusan sukan berteknologi tinggi.

Beliau turut menghadiri perbincangan bersama-sama Kumpulan Perniagaan KT Global di ibu pejabatnya di Seoul.

 

Delegasi juga berkesempatan melawat lokasi rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan, yang bakal menghimpunkan 2,952 atlet dari 92 negara untuk bersaing dalam 102 acara daripada 15 acara sukan yang dipertandingkan.

Malaysia merupakan di antara negara yang turut bersaing.

Selain Snowdan, delegasi Sarawak turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Dr Sabariah Putit dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Dr Ong Kong Swee.

Snowdan turut mengambil kesempatan daripada kunjungan itu untuk mengadakan pertemuan dengan pakar-pakar di Institut Sains Sukan Korea termasuk Profesor Young Ho Kim yang merupakan Ketua Jabatan Sains Sukan di Universiti Nasional Teknologi dan Sains Seoul.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah inisiatif untuk bekerjasama dalam pembangunan aplikasi sains sukan serta atlet berprestasi tinggi selain merintis kerjasama untuk pembentukan pusat sukan berprestasi tinggi di Sarawak.

“Semestinya kita mempunyai banyak peluang untuk belajar dan bekerja rapat dengan rakan-rakan yang pakar di Korea Selatan ini,” jelasnya lagi.

Sarawak mempunyai semua ciri yang sesuai untuk mencapai visi sebagai kuasa sukan, termasuk akses kepada kemudahan sukan bertaraf dunia di negara ini

Selari dengan kunjungan ini juga katanya, Sarawak mahu menjadi perintis dari segi menetapkan piawaian dalam mutu sukan termasuk pengurusan kemudahan, atlet cemerlang serta perkhidmatan kepada semua pengguna di samping aspek keselamatan.

“Ia boleh dimulai dengan mengadakan platform standard yang menggabungkan peralatan sistem dan data canggih, penganalisan data dan teknologi terkini yang mesra pengguna.

Beliau berkata terdapat banyak stadium pintar yang telah dibangunkan di seluruh dunia seperti Amsterdam Arena di Belanda; Stadium Allianz Riviera di Nice, Perancis; Stadium Sukan Bandar di Doha, Qatar; Stadion Estadio Chivas di Mexico; Stadium Siena di Tuscany, Itali; Hutan Stadium Green di England; Estadio da Luz, Lisbon di Portugal; dan, Kansas City, Missouri, Amerika Syarikat. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru