KUCHING: “Kami sentiasa mengalu-alukan semua bekas ahli parti yang mahu menyertai semula parti, tapi ia mesti dilakukan dengan ikhlas, tidak perlu menunggu arahan,” kata Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.

Sim menambah, beliau tidak hanya merujuk kepada bekas ahli parti yang kini menyertai Parti Rakyat Bersatu (UPP), tetapi turut merujuk semua parti termasuk parti pembangkang.

Bercakap selepas meninjau persiapan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2018 anjuran SUPP Pusat di Dewan Sa’ati SUPP pada Rabu, Sim mengalu-alukan kehadiran semua ahli parti serta bekas ahli bersama-sama pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina yang diadakan esok.

“Inilah masanya kita bersatu semula, meraikan bersama-sama hari yang mulia ini kerana rakyat mahukan kita bersatu,” ujar Sim.

“Rakyat negeri ini perlukan kita semua dan saya amat mengalu-alukan kehadiran ahli baru untuk turut serta dalam SUPP dan jika mereka sertai, banyak peluang yang akan mereka dapat,” ujar Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu lagi.

“Tahun ini tahun anjing, saya mahu kita semua bersatu padu kerana saya ingin melihat Sarawak menjadi negeri yang kuat,” tambah Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah mengulas hasrat Ketua Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg melihat penyatuan semula SUPP-UPP.

Abang Johari serta menteri kabinet negeri yang lain dijadualkan hadir pada majlis terbuka tersebut.

Abang Johari juga dijadualkan menghadiri majlis rumah terbuka SUPP Miri pada 17 Februari serta diikuti majlis rumah terbuka SUPP Sibu pada 20 Februari. –Sarawakvoice