Friday, August 12, 2022

Dua tahun penubuhan, jawatankuasa khas selesai 92 kes ‘stateless”, bentang 297 kes kewarganegaraan – Fatimah

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 297 permohonan taraf kewarganegaraan telah dibentangkan sejak November 2016 hingga bulan lalu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A Peringkat Negeri Sarawak, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Ia pencapaian yang positif memandangkan jawatankuasa ini baharu berusia dua tahun, setelah ditubuhkan pada 23 Ogos 2016.

Penubuhannya menyasarkan penyelesaian kes-kes permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam mesyuarat mutakhir hari ini (semalam), sebanyak 25 lagi permohonan telah diterima dan disemak,”katanya lagi ketika merasmikan Penutupan Program Wacana Bestari, Masalah Dokumen Pengenalan Diri Bahagian Kuching dan Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Taraf Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A.

Fatimah memberitahu, sejumlah 92 surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan, daripada keseluruhan pembentangan.

Program Wacana Bestari ini merupakan program ‘outreach’ Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak untuk berkongsi maklumat berkaitan isu dan masalah sosial yang dihadapi masyarakat.

Antara isu yang dibangkitkan termasuklah masalah dokumen pengenalan diri di Bahagian Kuching yang merangkumi tiga sesi bicara iaitu ‘Perkahwinan tidak teratur dan implikasi terhadap dokumen pengenalan diri’ oleh Bahagian Perkahwinan dan Penceraian, Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak.

Turut dibincangkan isu ‘Pengangkatan anak mengikut prosedur operasi standard (SOP)’ oleh Pejabat Daerah Kuching serta ‘ Permohonan menjadi warganegara Malaysia’ oleh Bahagian Kewarganegaraan, Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya.

“Masalah dokumen pengenalan diri merupakan salah satu daripada sembilan isu yang menjadi fokus utama dalam kementerian saya.

“Perkahwinan tidak teratur serta proses pengangkatan anak yang tidak mengikut SOP yang betul merupakan punca berlakunya masalah dokumen pengenalan diri kerana pendedahan isu tersebut kepada masyarakat masih belum meluas.

“Program ini juga merupakan satu platform untuk pihak yang berkepentingan dan pemimpin akar umbi berbincang dan memberikan pandangan serta input bagi menyelesaikan masalah dokumen pengenalan diri secara menyeluruh dan berkesan.

Jelas Fatimah lagi, masalah dokumen pengenalan diri harus dipandang serius kerana ia menjejaskan beberapa aspek penting dalam kehidupan seseorang individu, baik dari segi aspek pendidikan, kerana seseorang yang ‘stateless’ sukar untuk mendapatkan bantuan serta keistimewaan yang telah disediakan oleh kerajaan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru