KUCHING: “Masa berlalu begitu cepat, saya menyertai politik pada 2011, sekarang sudah lapan tahun berpolitik dan akan tiba masanya saya berundur,” kata Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian merujuk kepada tempoh tiga penggal atau sembilan tahun beliau menjawat jawatan tersebut.

“Sekarang tahun keempat saya menyandang jawatan ini, jadi parti perlu mencari orang lain untuk mengambil alih daripada saya,” tambah beliau.

Sim selepas meninjau persiapan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2018 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Dewan Sa’ati SUPP berkata, parti tersebut membuka penyertaan kepada ahli baharu.

Menurut beliau lagi, terdapat banyak “peluang” dalam SUPP selepas tiga suku barisan kepimpinan partinya bersara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah itu mahu, laluan yang diberi kepada muka baharu dan generasi muda itu dapat memastikan parti ditubuhkan sejak 1959 itu kekal lebih lama.

SUPP berdepan krisis dalaman pada 2014 memaksa beberapa pemimpinnya keluar parti lalu menubuhkan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

UPP dipimpin oleh bekas Timbalan Setiausaha Agung SUPP yang juga Menteri Kewangan Kedua serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Perdagangan Datuk Sri Wong Soon Koh. –Sarawakvoice