Friday, August 19, 2022

Rohani tidak mahu kes dera pembantu rumah hingga mati berulang

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini melahirkan rasa dukacita dan simpati akan kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia kerana disyaki didera majikan baru-baru ini.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ia merupakan insiden yang amat serius dan perlu ditangani berhati-hati oleh semua pihak yang terlibat agar tidak berulang.

“Kes ini merupakan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar norma-norma manusia serta tidak beretika oleh pihak majikan.

“Tindakan sewajarnya ke atas suspek yang terlibat dalam kes penderaan, hingga meragut nyawa ini perlu diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.

Tegasnya, mesej yang jelas juga perlu dihantar kepada masyarakat bahawa Kerajaan tidak akan bertoleransi terhadap perlakuan yang tidak berkemanusiaan ini.

“Malaysia merupakan negara yang berdaulat dan menghormati hak manusia.

“Perlembagaan Malaysia menjamin hak berasa selamat dan dilindungi pada setiap masa tidak kira mereka warga tempatan mahupun warga asing.

Kata Rohani lagi, pihaknya akan terus menjalankan pelbagai langkah untuk menyokong pembantu rumah yang rata-ratanya terdiri daripada wanita..

“Antara langkah ini termasuk mengadakan ‘Talian Kasih 15999’ yang beroperasi tanpa henti untuk laporan kes-kes penganiayaan.

“Pada masa yang sama, kita menyediakan perlindungan kepada mangsa penganiayaan dan memberikan perkhidmatan kaunseling terhadap pembantu rumah yang mengalami tekanan daripada majikan.

Katanya, pihaknya juga memberi sokongan kepada keluarga supaya mendapat kemahiran ‘coping’ dalam menangani tekanan dalam keluarga yang boleh menjurus kepada perbuatan keganasan terhadap pembantu rumah

“Saya menyeru pihak berwajib melakukan pemantauan berkala kepada syarikat/agensi pembantu rumah bagi memastikan tiada lagi penganiayaan yang berlaku.

“Kami di kementerian akan sentiasa bekerjasama dengan mana-mana agensi yang berkaitan dan berharap orang ramai turut membantu sekiranya mengesyaki atau mengenal pasti kes-kes seperti ini kawasan sekitar mereka,” tambahnya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru