Rangkaikan alam siber, alam fizikal dan bekalan air, pendekatan Abang Jo tingkat hidup rakyat

0
3

KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari malam tadi menjelaskan tiga pendekatan yang diambil beliau sejak menjadi Ketua Menteri lebih setahun lalu adalah melaksanakan keterangkaian dari segi fizikal, alam maya dan bekalan air.

Ketua Menteri berkata, keterangkaian dari segi fizikal dengan membina jambatan dan jalan raya penting untuk menghubungkan 2.7 juta penduduk di negeri ini, terutama di kawasan pesisiran dan pedalaman, termasuk di Belaga.

“Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan bicarawara ‘Bersama Ketua Menteri Sarawak’ yang disiarkan secara langsung melalui TV1, malam tadi.

Rancangan itu dikendalikan oleh moderator terkenal Sayed Munawar Sayed Mustar.

Dari segi internet, Ketua Menteri telah mendapatkan peruntukan RM1 bilion untuk membina 5,000 menara telekomunikasi bagi memastikan penembusan jalur lebar, termasuk di kawasan pedalaman.

Langkah itu, katanya, juga diambil untuk memastikan kepantasan 50mbps di luar bandar dan antara 100-150 mbps di bandar.

Langkah ini, jelasnya, perlu bagi memastikan dasar ekonomi digital yang diperkenalkannya dapat direalisasikan.

“Ini asas untuk lonjakkan ekonomi dan pembangunan secara holistik, selain daripada memberi latihan yang sesuai kepada generasi muda termasuk dalam bidang keselamatan siber,” katanya.

Dari segi bekalan air, Ketua Menteri berkata, beliau akan melaksanakan projek grid air yang bakal menjamin bekalan air bersih bagi penduduk di negeri ini.

“Projek ini memakan belanja yang besar, tetapi kita perlu laksanakannya demi rakyat. Kita akan sedut air dari empangan,” katanya.

Sebelum ini, Abang Johari mengumumkan, projek grid air berkenaan akan memakan belanja sekitar RM8 bilion. — Sarawakvoice