KUCHING: Lima kawasan di Daerah Beluru di Miri masih terjejas oleh banjir, kata jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin.

Katanya, antara kawasan yang terjejas termasuklah Long Batan, Long Tabing dan Long Pelawai di Tinjar, Rumah Empaga Entebang, Sungai Beluru di Bakong dan Rumah Budin Nawek di Sungai Tuyut.

“Sehingga jam 8 pagi ini, terdapat satu pusat pemindahan masih aktif iaitu Dewan Suarah Mukah, yang menempatkan empat keluarga dan 14 mangsa dari Kampung Sitieng, Sebakong, yang mula mendaftar masuk pada petang 8 Februari lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Kesihatan Negeri, tiga klinik masih tidak beroperasi iaitu Klinik Desa Tamin  di Selangau serta Klinik Kesihatan Nanga Tau dan Klinik Kesihatan Sangan di Bintulu.

Jabatan Pendidikan Negeri pula katanya, melaporkan sembilan buah sekolah tidak beroperasi disebabkan air naik sekitar empat inci ke enam kaki.

“Empat sekolah ini terletak di Daerah Mukah, manakala masing-masing dua di Dalat dan Baram serta satu di Selangau.

“Ia membabitkan 532 pelajar  117 guru dan 59 petugas bukan guru,” jelasnya lagi. — Sarawakvoice