Saturday, May 21, 2022

Abang Johari “turun padang” pastikan menara digital Sarawak dipasang tahun ini

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau sendiri akan ‘turun padang’ bagi memastikan pemasangan infrastruktur digital di Sarawak dilaksanakan sepenuhnya.

“Tahun lalu adalah untuk perancangan dan tahun ini adalah untuk pelaksanaan atau implementasi.

“Saya sendiri akan ‘turun padang’ untuk meninjau jumlah menara yang sudah dibina.

“Malah saya juga mahu tahu berapa banyak anak-anak kita yang telah dilatih dengan kemahiran digital ini, selain ketua-ketua masyarakat, ketua kaum dan penghulu,” katanya ketika ke udara dalam siaran langsung ‘Bersama Ketua Menteri’ di Auditorium P. Ramlee, RTM Sarawak di sini malam tadi.

Rancangan selama satu jam itu dikendalikan oleh Syed Munawar Syed Mustar.

Sarawak katanya, kini memiliki sejumlah RM1.5 bilion yang digunakan untuk membangunkan kemudahan internet berkelajuan tinggi.

“Ini penting untuk kita mewujudkan ekosistem dan daripada ekosistem ini, kita memperkasakan aktiviti pertanian moden, pemasaran atas talian, Sarawak Pay dan pelbagai lagi.

Pertanian moden bermaksud petani menggunakan dron, sensor dan sebagainya meningkatkan pengeluaran serta meluaskan pemasaran.

“Bagi menyokong pemasaran pertanian ini agar dapat sampai ke negara pembeli dengan pantas, kerajaan negeri akan membeli sebuah pesawat karavan bagi membawa hasil pertanian dari Sadok dan tanah tinggi di Baram,” tambahnya.

Katanya, ekosistem ini merupakan salah satu daripada perubahan distruptif yang akan dialami Sarawak dan ia bagi menyediakan generasi muda negeri ini menghadapi cabaran masa depan.

Abang Johari turut menyentuh tentang keperluan memperkemas konektiviti negeri ini termasuk penyediaan laluan darat dan jalan raya di luar bandar termasuk di Belaga, yang akan dirangkaikan dengan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Pada masa yang sama kita juga memperuntukkan RM11 bilion untuk melengkapkan lebuh raya pesisir negeri, yang akan dilaksanakan secara berfasa selama 10 tahun,” jelasnya.

Semalam merupakan tepat setahun sebulan Abang Johari mengambil alih kepimpinan daripada Tan Sri Adenan Satem.

Ini merupakan kali kedua beliau tampil dalam siaran langsung ‘Bersama Ketua Menteri Sarawak’.

Sebelum ini beliau diwawancara juga oleh Syed Munawar selepas 100 hari memegang tampuk pemerintahan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru