Abang Jo: Rakyat perlu beri sokongan  dasar yang diperkenal demi majukan Sarawak

0
3

KUCHING: Ketua Menteri mengakui salah satu cabaran utama yang dihadapinya untuk mentransformasi Sarawak dan membawanya ke hadapan adalah mengenal pasti hala tuju yang sesuai dan betul.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari, Sarawak yang mempunyai 2.7 juta penduduk perlu mempunyai strategi dan rancangan jangka panjang yang betul supaya memberi kesan dari segi kualiti hidup dan pendapatan mereka.

“Strategi jangka panjang untuk menentukan hala tuju menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030. Kita hanya ada 12 tahun lagi untuk mencapai sasaran berkenaan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika ditanya Sayed Munawar Sayed Mustar, moderator rancangan “Bersama Ketua Menteri Sarawak’ yang disiarkan secara langsung melalui TV1, malam tadi.

“Penting bagi rakyat memberi sokongan dan memberi respons yang sesuai,” katanya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana menyambut baik pendekatan saya, khasnya dalam transformasi berkaitan ekonomi digital. Ini merupakan pendekatan yang harus kita gunakan untuk lonjakkan pendapatan penduduk di bandar dan luar bandar,” katanya.

Justeru, ujarnya, sejak dilantik sebagai Ketua Menteri pada 13 Januari tahun lalu, beliau memperkenalkan pelbagai dasar dan langkah, termasuk memberi peruntukan RM1 bilion untuk menambah jumlah menara telekomunikasi bagi meningkatkan kelajuan internet.

Beliau juga menghargai peranan perkhidmatan awam yang begitu responsif terhadap dasar yang diperkenalkannya.

“Perkhidmatan awam bersama-sama dengan saya. Mereka faham apa yang patut dilakukan, dan ini akan dapat membantu dari segi pencapaian dasar dan langkah yang kita ambil,” katanya. — Sarawakvoice