Wanita Dayak kini Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria

KUALA LUMPUR: Gloria Corina Peter Tiwet, semalam mencipta sejarah apabila muncul ‘wanita Dayak pertama’ dilantik sebagai duta negara.

Beliau yang sebelum ini Pengarah Pejabat Serantau Sarawak di Kementerian Luar akan menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Nigeria.

Memetik Bernama, beliau dan empat yang lain menerima watikah pelantikan sebagai utusan Malaysia daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara hari ini.

Penerima lain ialah Mohamad Nizan Mohamad, yang akan berkhidmat di Afrika Selatan; Chitra Devi V. Ramiah (Poland); Mohd Haniff Abd Rahman (Mesir) dan Zahairi Baharim (Myanmar).

Gloria sebelum ini turut berperanan sebagai Pengarah Sekretariat Logistik Utama ASEAN Kementerian Luar dari 2015 hingga 2016 selain pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di Sweden, Argentina dan Chile.

Mohamad Nizan, sebelum pelantikannya merupakan Ketua Setiausaha Bahagian Afrika di Kementerian Luar Negeri.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Korea Utara dari tahun 2015 hingga 2017 selain berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di Thailand, Zimbabwe, Kanada dan Laos.

Chitra Devi merupakan duta Malaysia ke Timor-Leste sejak 2016. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Konsul Jeneral Malaysia ke Chennai dan berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Hungary.

Mohd Haniff pula pernah berkhidmat sebagai duta Malaysia ke Myanmar sejak 2014.

Beliau turut berpengalaman sebagai Konsul Jeneral Malaysia ke Vancouver, Kanada, dari tahun 2011 hingga 2014 selain berkhidmat di Kosovo, Jepun dan Fiji.

Zahairi, Duta Besar Malaysia yang baharu ke Myanmar, adalah Ketua Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Alam Sekitar Multilateral Kementerian Luar sejak 2016, selain berkhidmat di Afrika Selatan, Qatar, Kuwait dan Laos. –Sarawakvoice