Tega! Ibu tiri paksa anak 7 tahun minum air panas mendidih

KUALA LUMPUR: Teganya ibu tiri sanggup mendera anak berusia 7 tahun meminum air panas yang sedang menggelegak sehingga bibirnya melecur teruk.

Kejadian Isnin lalu itu dilaporkan berlaku, sehari selepas ibu kandungnya Nurul Dahlia Jaafar, 35, menghantar mangsa yang juga anak bongsu empat beradik pulang ke rumah bekas suaminya di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Zaldino Zaludin mengesahkan menerima laporan kes murid Darjah Satu melecur bibir itu selepas dipercayai dipaksa minum air panas oleh ibu tirinya Sabtu lepas.

Laporan kes berkenaan dibuat Sabtu lalu di IPD Dang Wangi dan masih dalam siasatan awal.

Menurut Zaldino, laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur diminta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Memetik Harian Metro, Nurul Dahlia guru sekolah agama, mengetahui perkara itu ketika beliau mengambil anak bongsunya di rumah bekas suami di Lenggeng, Jumaat lalu.
Beliau terkejut apabila mendapati bibir mangsa melecur, didakwa akibat perbuatan ibu tirinya.

Nurul Dahlia bercerai dengan bapa mangsa pada 2011 dan mangsa dijaga bekas suaminya bersama tiga lagi anak mereka berusia 14, 13 dan 8 tahun.
Bekas suaminya berkahwin lagi pada Disember 2016. –Sarawakvoice