Sasar 100 barangan lebih murah di KR1M – Hamzah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan 100 barang terpilih ditawarkan pada harga lebih murah di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M 2.0) menjelang April tahun ini, kata menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata jika sasaran itu berjaya dicapai, jumlah barang akan ditambah menjelang akhir tahun ini.

“Jika sasaran itu tidak mampu dicapai tiada guna kita tingkatkan sasaran lebih banyak. Kita mahu pastikan ia dicapai dulu untuk memastikan harga yang ditawarkan murah dan barang berkualiti,” katanya pada sesi taklimat media KR1M 2.0 di sini hari ini.

Sejak dilancarkan 4 Feb lepas, terdapat 50 barang berjenama terpilih ditawarkan di 51 KR1M seluruh negara antaranya di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Hamzah berkata sejak ia dilancarkan, ada peningkatan jualan sebanyak 7 peratus dan jualan dijangka meningkat dengan penambahan jumlah barang serta pengenalan penjualan barang KR1M 2.0 melalui kedai-kedai runcit. — BERNAMA