Polis Padawan cekup dua lelaki Cina kerana miliki dadah di Batu Kawa

PADAWAN: Risikan dan maklumat tepat oleh pasukan siasatan jenayah narkotik Padawan berjaya menghasilkan tangkapan dua lelaki Cina di sini pagi tadi, selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan ketika mengesahkan kes berkata, kedua-duanya dicekup di
sebuah rumah di Taman Dusun Indah Fasa 1 di Jalan Sejijak, Batu Kawa.

“Suspek ditahan sekitar jam 10.00 pagi tadi selepas pasukan serbuan menemui satu beg coklat yang disembunyikan di dalam almari pakaian.

Pemeriksaan lanjut kata Aidil, kemudian menemui empat paket plastik lut sinar yang mengandungi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabut seberat 5.10 gram.

“Salah seorang suspek kemudian mengaku membeli dadah tersebut secara bank-in untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada penagih di sekitar Kampung Sejijak dan Taman Malihah.

Kedua-dua suspek katanya, berusia 24 dan 33 tahun dari Bintawa dan tidak memiliki rekod lampau.

“Hasil saringan awal pula mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methaphetamine.

“Mereka kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. — Sarawakvoice