Penjara Rafizi 30 bulan: Hantar mesej salah kepada rakyat, kata PKR

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menghantar mesej yang salah kepada orang ramai yang sekarang akan takut untuk mendedahkan sebarang skandal.

Mahkamah Seksyen Shah Alam enam hari lalu menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ahli Parlimen Pandan itu selepas beliau didapati bersalah mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) pada tahun 2012.

Menurut Syed Ibrahim, Rafizi dihukum ketika jutaan rakyat Malaysia menanggung beban akibat kegagalan NFC yang sehingga kini masih terlepas daripada sebarang tinadakan undang-undang.

“Harga daging lembu semakin mahal dan kebelakangan ini banyak keluarga tidak mampu pun untuk menikmati daging lembu,” katanya dalam satu kenyataan.

“Rafizi tidak mengambil satu sen pun wang rakyat sebaliknya hanya melaksanakan amanah,” katanya lagi.

“Pada masa sama tiada seorang pun daripada dihadapkan ke muka pengadilan.Yang didakwa ialah pemberi maklumat,” katanya.

Hakim, Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman sama terhadap bekas kerani bank, Johari Mohamad kerana bersubahat dengan Rafizi.

Bagaimanapun, Zamri membenarkan penangguhan hukuman, sehingga keputusan rayuan dengan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000 seorang.

Rafizi didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita akhbar nasional. –Sarawakvoice