Mayat terapung dengan bawah badan tinggal rangka ditemui di Sungai Salak

KUCHING: Penduduk di sekitar Kampung Salak di sini gempar petang tadi apabila menemui mayat seorang individu yang terapung dipercayai lelaki.

Mayat yang masih berbaju tetapi sebahagian daripada bawah badannya tinggal rangka tulang ditemui sekitar jam 3 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Abang Junaidi Abang Annuar berkata, pihaknya menerima
panggilan telefon daripada Penghulu Kampung Salak, Wahed Mat, berhubung penemuan mayat tersebut oleh penduduk kampung di seberang Sungai  Kampung Salak.

“Identiti mayat sukar dikenal pasti dan pasukan kita telah dihantar ke lokasi untuk memulakan proses siasatan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk proses pengecaman identiti dan mengenal pasti punca kematian,” katanya lagi.

Abang Junaidi turut menasihati orang ramai agar menghubungi balai polis berdekatan jika terdapat maklumat tentang ‘orang hilang’. –Sarawakvoice