MARDI tampilkan padi MRQ98, mampu hasilkan produk bermutu untuk eksport

KUCHING: Institusi Pembangunan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) berterusan menghasilkan padi variati baharu dan kini memulakan projek penanaman padi Warna 98 atau MRQ98 di skim pengairan Skuduk/ Chupak, seluas 4.4 hektar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas melalui teks ucapan dibaca oleh Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah berkata, padi MRQ98 mampu mendapat sekitar 4.5 hingga 6.7 tan hasil sehektar.

Dalam mesej beliau pada pengisytiharan MRQ98 Kampung Plaman Payang di Serian pada Isnin, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, penanaman MRQ98 membantu meningkatkan hasil dan pendapatan petani tempatan.

Selain tahan jangkitan penyakit biasa, MRQ98 mempunyai tempoh matang yang pendek iaitu 103 hari dan sesuai bagi pelan penanaman dua kali setahun.

Memandangkan MRQ98 bermutu untuk eksport dan menghasilkan produk hiliran seperti tepung untuk membuat biskut, kek dan makanan bayi, penanamannya perlu diperluaskan di kawasan lain di negeri ini. –Sarawakvoice