Jual perlawanan: SPRM mula gerakkan siasatan terhadap FAS

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) Cawangan Sarawak hari ini mengesahkan pihaknya telah mengambil maklum akan kes “jual perlawanan” yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) baru-baru ini.

“Kita ambil serius akan isu ini dan akan mengambil tindakan susulan lanjut termasuk menggerakkan siasatan,” kata Pemangku Pengarahnya, Zulhairy Zaidell.

“Mereka (FAS) telah mengeluarkan kenyataan media beberapa hari lalu, jadi kita akan ambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat,” katanya selepas melancarkan Kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR) Bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Ibu Pejabat DBKU di sinj.

Zulhairy bagaimanapun berdiam diri apabila diasak soalan susulan kerana siasatan masih dijalankan.

FAS dalam kenyataannya semalam mengesyaki berlakunya aktiviti mencurigakan mengatur perlawanan dalam aksi menentang Felcra FC di Stadium Negeri, Sabtu lalu, apabila pasukan Sarawak tewas mengejut 2-3 meskipun mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Presiden FAS, Datuk Posa Majais kemudian mengarahkan siasatan dalaman dilakukan oleh Pengurus pasukan, Wahab Abdul Rahim untuk mengenal pasti dakwaan ini. –Sarawakvoice