Jadikan Singapura sebagai iktibar

Bangsa Johor itu bukanlah direka kerana keunggulan pasukan bolasepak JDT. Tetapi Bangsa Johor itu telah lama wujud sebelum merdeka lagi. Ianya telah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor (UTKJ). Wujudnya juga sebelum tertubuhnya perlembagaan persekutuan.

Orang Johor ini entak sedegam, langkah sepijak, seia sekata, semuafakat. Muafakat Johor seiring dengan Bangsa Johor mencerminkan bahawa rakyat Johor ini sentiasa bersatu menyerlahkan daya saing Johor di Malaysia dan antarabangsa.

Maka, kepimpinan dan rakyat Johor itu sendiri sedar bahawa rasa kekitaan Johor itu adalah sebahagian daripada warna Jalur Gemilang. Manakala Malaysia adalah tanah air yang Bangsa Johor perlu pertahankan kedaulatannya.

Johor adalah negeri yang pertama dalam segalanya. Ianya diperakui oleh sejarah. Ahmad Fawzi Basri pernah membicarakan panjang lebar melalui tulisannya Johor 1855-1917: pentadbiran dan perkembangannya (1988). Beliau menganggap Johor sebagai “negeri Melayu pertama mempunyai perlembagaan bertulis”.

Sebagai negeri yang penuh dengan kemuafakatan rakyatnya dan negeri yang perlu berdepan dengan kemajuan dan arus kemodenan, kita tidak mahu Johor ini terselit dengan orang ketiga yang memusnahkan.

Kredit foto : The World

Kita tidak mahu mahkota bunga raya itu gugur. Dipisahkan dari benang sari dan bakal biji satu persatu sehingga tertinggal tangkai. Ketika itu, semangkuk air mata darah pun tidak lagi boleh digunapakai. Segalanya tinggal sisa. Sisa yang tidak mungkin boleh dibangunkan lagi.

Singapura merupakan suri teladan yang baik kepada kita. Bukan kemodenan dan pentadbirannya dicemburui tetapi nasib hidup orang melayu di sana.

Menurut Lili Zubaidah Rahim dalam buku Dilema Singapura : peminggiran politik dan masyarakat melayu (2004), sepanjang tempoh kekecohan penyatuan Singapura ke dalam Malaysia, Lee Kuan Yew (ST, 5 Mei 1965) mencabar kedudukan dan hak istimewa berperlembagaan orang Melayu di Malaysia dengan mengatakan bahawa taraf peribumi orang Melayu tidak ada lebihnya jika dibandingkan dengan orang Cina, India dan masyarakat pendatang yang lain.

Menurutnya lagi di dalam halaman yang sama, Lee mengaitkan orang melayu Malaysia dari keturunan Indonesia sebagai pendatang yang sepatutnya setaraf dengan masyarakat pendatang yang lain.

Kesimpulan serupa yang meragui kepribumian orang melayu terus dilakukan oleh orang bukan Melayu di Singapura dan sesetengah ahli politik bukan Melayu di Malaysia.

Halimah Yacob mengangkat sumpah sebagai Presiden Melayu Singapura kedua selepas Yusof Ishak. Pelantikan ini tidaklah boleh dibanggakan. Untuk menjamin survival politik parti People’s Action Party (PAP), Lee terpaksa Meminda Akta Pilihanraya Presiden yang memperuntukkan melayu bagi menarik semula sokongan minoriti melayu (13%).

Walaupun Halimah Yacob ini dikagumi kerana hidupnya yang sederhana dan tidak bermewah, Ianya tetap tidak dapat lari dari persepsi bahawa pelantikannya adalah sekadar topeng bagi mengaburi sikap perkauman yang didukungi oleh parti PAP di Singapura.

Rakyat Malaysia terutama Bangsa Johor harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Singapura. Sebagai tapak bermulanya UMNO di sini, Johor harus terus kuat dan kukuh untuk menghadapi musuh dalam selimut. –Sarawakvoice