Dadah : Sofi Jikan mengaku tidak bersalah

PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dadah jenis THC, minggu lalu.

Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Selepas pertuduhan dibacakan, pelakon yang popular dengan dialog ‘Wa Kasi Sengat’ dalam filem KL Gangster berkata berkata “saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan”.

Pelakon itu didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 11.15 malam, 6 Feb lalu.

Dia yang berpakaian sut biru gelap dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin namun pelakon itu yang diwakili peguam Datuk Haniff Hassan memohon jaminan rendah antara RM2,000 hingga RM3,000 atas alasan tertuduh penanggung utama keluarga.

“Anak guam saya juga telah memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis sepanjang siasatan dijalankan. Dia juga dikenali masyarakat, oleh sebab itu, tidak ada kecenderungan untuknya melarikan diri,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.

Jumaat lalu, Sofi Jikan dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes dadah.

Sebelum ini, pelakon itu ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara Selasa lalu ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil Zahari, 37, pada 31 Jan lalu.– BERNAMA