Penanda aras baharu untuk PBB

Dr Jeniri Amir 

Ketika merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching pada Sabtu, Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari memang selayaknya menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Perdana Menteri berkata, kesetiaan dan kesabaran yang telah ditunjukkan Abang Johari sejak berkecimpung dalam politik pada 1981, memungkinkan beliau akhirnya berada di tampuk kuasa.

Untuk itu, Pengerusi Barisan Nasional Pusat itu mengingatkan ahli dan pemimpin yang mahu meningkat naik dalam parti supaya sentiasa bersabar dan setia kepada parti.

“Abang Jo, anda selayaknya menjadi Ketua Menteri Sarawak,” katanya merujuk kepada Ketua Menteri keenam itu.

Namun, perjalanan politik beliau bukannya tanpa ranjau dan duri. Perjalanan panjangnya selama 35 tahun, penuh dengan cabaran dan dugaan. Tanpa ciri yang disebutkan oleh Perdana Menteri sukar bagi mana-mana pemimpin untuk mengukir kejayaan. Ethos dan watak sebenar seorang pemimpin diuji daripada bagaimana dia bertindak ketika berdepan cabaran besar.

Tanpa menafikan takdir Allah SWT, Abang Johari sememangnya wajar menerajui PBB dan menjadi Ketua Menteri.

Dalam satu kajian, Abang Johari mendapat sokongan 92 peratus penduduk Sarawak, sebagai Ketua Menteri, dua bulan selepas beliau dilantik ke jawatan itu pada 13 Januari tahun lalu.

Najib mengakui perjalanan Abang Johari mempunyai persamaan dengan perjalanan politiknya.

Ayah Najib, Tun Abdul Razak yang turut menandatangani Perjanjian Malaysia bersama-sama Tun Abang Haji Openg pada 1963, pernah menjadi Perdana Menteri.

“Kami anak mereka menjadi Perdana Menteri dan Ketua Menteri masing-masingnya, tetapi sebelum itu kami banyak bersabar dan setia dalam parti,”
kata Najib.

Abang Johari pernah berdepan cabaran besar dalam politik selepas menumbangkan Pehin Seri Adenan Satem untuk jawatan Timbalan Presiden PBB pada 1998.

Adenan meskipun mendapat sokongan padu Ketua Menteri Tun Abdul Taib Mahmud ketika itu, tetap tewas dalam persaingan yang sengit itu.

Selepas itu, Abang Jo berdepan cabaran besar. Beliau boleh dikatakan hampir berada dalam belantara politik.

Namanya turut disebut-sebut menjadi Ketua Menteri menggantikan Taib pada Mac 2014, tetapi sebaliknya Adenan menjadi pengganti Taib.

Abang Johari tidak merajuk, sebaiknya tetap setia dan menyokong kepemimpinan parti dan negeri.

Timbalan Presiden PBB itu, sebaliknya, menyeru ahli dan pimpinan PBB supaya memberikan sokongan penuh kepada Adenan yang telah dinamakan sebagai Ketua Menteri.

Abang Johari menerima baik pemilihan Adenan yang disifatkan cerminan konsensus PBB yang mengutamakan kepentingan rakyat.

“Perjuangan adalah pengorbanan. Pangkat dan darjat bukan keutamaan,” kata Abang Johari dalam sidang media di pejabatnya ketika itu.

“Keutuhan dan kedaulatan Sarawak lebih penting lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri 2016 dan PRU-14 2018,” ujar Abang Johari.

Manusia merancang, tetapi Tuhan yang menentukannya.  Akhirnya, Abang Johari menjadi Ketua Menteri keenam  selepas Adenan meninggal dunia pada 11 Januari 2017.

Selepas Abang Johari dipersetujui dilantik sebagai Ketua Menteri, semua pemimpin dan ahli parti daripada Sayap Pesaka dan Sayap Bumiputera akur dengan pemilihan itu. Inilah tradisi dan amalan yang menjadi punca kestabilan dan keharmonian dalam PBB.

Dengan Abang Johari kini sudah disahkan menjadi Presiden secara rasmi, bersama-sama barisan kepemimpinannya, menjadi tanggungjawab beliau untuk terus melonjakkan PBB ke tahap pencapaian yang lebih tinggi. Beliau perlu menganjakkan penanda aras yang baharu dari segi dasar, matlamat dan sasaran parti, selari dengan aspirasi dan harapan ahli dan rakyat yang diwakilinya yang semakin meningkat.

PBB di bawah kepemimpinan beliau perlu bergerak seiring dan sejalan dengan aspirasi itu, dan menangani cabaran dan harapan rakyat dengan berkesan. Dengan pengalaman luas di belakangnya, selain wawasan jitu dan komitmen jitu yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Satok itu, beliau tentu mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan berkesan.

Sebagai parti tulang belakang BN, PBB perlu tahu dan bersedia mendengar rintihan dan suara rakyat terutama di pedalaman. PBB perlu mengenal pasti kelompok yang tidak puas hati, dan cuba menyelesaikan masalah yang disuarakan mereka.

Abang Johari mempunyai banyak idea besar berpaksikan kepentingan rakyat.

Meneliti tiga ucapannya pada hari Jumaat dan Sabtu, boleh dikatakan beliau memiliki tenaga dan visi untuk mentransformasi Sarawak. Komitmennya bukan sahaja untuk mendapatkan balik hak Sarawak yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963, tetapi untuk mengubah negeri ini dari segi kemudahan prasarana, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Dengan dasarnya yang jelas berorientasikan rakyat, menjadi komitmen beliau untuk mengubah nasib dan kualiti hidup rakyat.

“PBB perlu kuat untuk memastikan ia dapat mengubah Sarawak. PBB mantap dan bersatu dalam usaha untum nenyumbang kepada pembangunan Sarawak,” katanya.

Permuafakatan yang cukup erat dalam PBB turut mengagumi Perdana Menteri.  

“PBB tidak ada jurang. Saya dapat saksikan sendiri kerana saya Perdana Menteri yang telah melawat Sarawak sebanyak 59 kali. Keindahan inilah antara ciri istimewa PBB, antara bumiputera Islam dan bumiputera bukan Islam,” katanya.

Sesungguhnya, keakuran kepada prinsip perkongsian kuasa merupakan ramuan atau rahsia kejayaan dan survival PBB. PBB dibentuk hasil gabungan Parti Pesaka dan Parti Bumiputera pada 1973.

Najib berkata PBB dapat jadi model atau contoh parti yang unggul.

Dalam ucapannya pada Sabtu di hadapan Perdana Menteri dan 5,000 perwakilan PBB dari seluruh negeri, Abang Johari mengharapkan pemimpin dan parti menjalankan tugas yang diberi dengan baik. Perpaduan dan keutuhan parti menurut beliau perlu diutamakan kerana hanya dengan keutuhan parti, segala rancangan dan impian dapat dicapai. Sudah tentu, ada baiknya kalai PBB di bawah Abang Johari dapat terus meningkatkan jumlah ahli menganggotai parti.

Kini PBB mempunyai 513,073 ahli berdaftar, iaitu 323,043 ahli lelaki, 153,962 ahli wanita dan 36,068 orang ahli Pemuda. Jelas kelihatan ketidseimbangan ahli dari dari segi gender dan usia. Mengapakah jumlah ahli Pemuda tidak bersekadar dengan jumlah golongan belia di negeri ini?

Berdasarkan demografi, sepatutnya tidak terdapat jurang besar antara ahli lelaki dan wanita. Bukankah jumlah wanita di negeri ini sekitar 51 peratus? Mengapakah jumlah ahli Wanita hanya setengah daripada jumlah ahli lelaki?

Adakah wanita tidak berminat berpolitik dan berparti? Bukankah wanita memainkan peranan penting ketika berkempen dan menjelang pilihan raya?

Demikian juga dengan jumlah ahli Pemuda — sepatutnya tidak sekadar dalam lingkungan berkenaan.

Maka, menjadi cabaran kepada Ketua Pemuda dan Ketua Wanita yang baharu untuk meningkatkan jumlah ahli masing-masing.

Ini harus menjadi antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka, selain merancang dan menjalankan program dan aktiviti yang lebih pelbagai dan berkesan.

Barisan kepemimpinan yang baharu tentu akan membantu beliau sebagai Presiden untuk terus melonjakkan parti ke hadapan agar PBB terus relevan di hati rakyat. PBB hendaklah berusaha sedaya upaya untuk mengubah nasib rakyat, terutama dari segi pendidikan, pembangunan luar bandar dan ekonomi.

Kualiti hidup mereka perlu ditingkatkan sesuai dengan perubahan zaman. Tidak harus ada lagi kepincangan dari segi pembangunan: sekolah, klinik, hospital, jalan raya dan seumpamanya.

Rakyat berhak untuk mendapat yang terbaik daripada pemimpin dan parti yang mereka dukung. Selesaikan dalam kadar waktu yang munasabah masalah berkaitan termasuk bekalan air bersih dan elektrik, serta jalan raya. Dengan komitmen dan keikhlasannya, pasti Abang Johari tidak akan mengecewakan rakyat.

Cabaran terdekat beliau adalah untuk memastikan PBB dapat menyapu bersih 14 daripada 31 kerusi yang bakal ditandinginya dalam pilihan raya umum akan datang.

Untuk itu, ia perlu menampilkan calon yang terbaik dan mampu menang.

Bagi mengisi tempat yang ditinggalkan penyandang yang tidak mempertahankan kerusi, PBB tentu akan memilih calon yang menepati kriteria yang dikehendaki pengundi dan rakyat.

Justeru, Ketua Menteri tentu mempertimbangkan calon berdasarkan dapat dan maklum balas daripada akar umbi di kawasan terbabit.

Ini termasuk anak tempatan, berkelayakan tinggi, memahami aspirasi dan masalah rakyat yang bakal diwakili, mudah didekati, tidak sombong, dan sentiasa meletakkan kepentingan parti dan rakyat di atas segala-galanya.

Abang Johari dikenali sebagai pemimpin yang berdisiplin, bertanggungjawab, ikhlas, komited dan kuat bekerja. Yang penting beliau memiliki wawasan dan jangkauan pandangan yang jauh ke hadapan.  Apabila sesebuah parti dan negeri dipimpin oleh pemimpin yang sedemikian, rakyat dapat menaruh harapan bagi masa depan yang lebih cerah dan menjanjikan.

Pemimpin politik yang hebat perlu berupaya menerobos jauh ke hadapan, dan bukannya lima tahun ke hadapan dengan hanya mengutamakan kemenangan dalam pilihan raya seterusnya. Abang Johari memiliki ciri dan kualiti untuk menjadi Ketua Menteri yang hebat.

Tetapi kehebatannya tentu akan semakin menyerlah dan bermakna jika barisan kepemimpinannya dalam parti dan kabinet memberi sokongan padu dan tanpa berbelah bahagi kepada beliau.

Pemimpin dan seluruh perwakilan telah berjanji untuk memberi sokongan dan membantu beliau merealisasikan impian dan wawasannya demi rakyat Sarawak.

Abang Johari pasti akan membawa Sarawak ke era baharu yang lebih bersatu, dinamik, makmur dan sejahtera.  PBB perlu meletakkan penanda aras baharu dari segi dasar, strategi dan pendekatan serta wawasannya. Era baharu dan cabaran baharu memerlukan pemikiran dan strategi baharu.

Beliau mendapat kekuatan, semangat dan idea baharu daripada Perhimpunan Agung PBB ke-14 yang baru berlalu. Ya, PBB di bawah teraju Abang Johari bakal mentransformasikan Sarawak. — Sarawakvoice

Dr Jeniri Amir adalah Penganalisis politik dan pensyarah Universiti Malaysia Sarawak