Sunday, June 26, 2022

PAS: Bekerjasama dengan UMNO bukan bermakna masuk UMNO

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bekerjasama dengan Umno bukan bermaksud PAS masuk Umno, malah PAS boleh kerjasama dengan sesiapa sahaja di luar gabungan atau pakatan.

Hal ini, menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana PAS mengamalkan konsep ta’awun  atau bekerjasama dalam perkara kebaikan dan kebajikan, bukan kerjasama dalam perkara buruk dan kejahatan.

Ujarnya, PAS sudah ada Gagasan Sejahtera dan PAS akan melawan  Barisan Nasional (BN)  termasuk Umno dan Pakatan Harapan dalam  pilihan raya umum (PRU) Ke-14.Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan China Press baru-baru ini.

Wawancara tersebut turut disiarkan dalam Harakah.

Ditanya sama ada DAP menyebabkan masyarakat Cina salah faham dengan PAS, dan menganggap PAS parti yang agresif, beliau berkata masyarakat Cina mesti menolak parti yang agresif terhadap Melayu seperti DAP kerana mengancam hubungan kaum di negara ini.

“Banyak faktor yang mempengaruhi salah faham masyarakat Cina terhadap PAS terutamanya kefahaman tentang Islam itu sendiri,” ujarnya.  

Pertama,  jelasnya, parti-parti Cina saling bersaing untuk mendapatkan undi Cina sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan bersifat rasis, tidak menghormati hak orang Islam dan bukan Islam dalam masyarakat majmuk yang dijamin dalam perlembagaan.

“Mereka saling menunjukkan sikap anti-Islam dan syariatnya walaupun sudah berulang kali diberi penjelasan. Walau hujah mereka rapuh tapi tetap membutakan mata dan hati untuk melihat kebenaran,” katanya.

Kata Abdul Hadi lagi, jika mereka mendakwa PAS memperjuangkan hudud (undang jenayah Islam) kerana politik, PAS juga boleh mendakwa mereka menentang hudud juga kerana politik dan bersaing untuk meraih undi bukan Islam.

Sedangkan, katanya,  hakikatnya PAS memperjuangkannya kerana hudud adalah salah satu daripada ajaran Islam yang sejak lama seawal penubuhannya.

“Seterusnya saya lihat media juga mainkan peranan mencetuskan isu sampingan atau terpencil untuk dijadikan bahan menaikkan sentimen perkauman yang boleh diselesaikan dengan cara harmoni dan bijaksana,” katanya.

Oleh sebab itu, ujar Ahli Parlimen Marang itu, PAS menerima Malaysia sebuah masyarakat majmuk dengan meraikan kehadiran kaum Cina dan India yang dibawa penjajah, menunjukkan masyarakat Islam terbuka dan berlapang dada.

“Namun saya ingatkan jangan diambil kesempatan atas kemurahan kami, sebaiknya kita hidup berkonsepkan masyarakat majmuk yang Madani, saling membantu untuk membangunkan negara yang aman dan sejahtera,” tambahnya.

“Orang Melayu ada kepakarannya, orang Cina pun ada, orang India dan lain-lain kaum pun ada. Maka semua kaum saling bertukar dan berkongsi kepakaran kerana mustahil dapat hidup keseorangan,” katanya.

Abdul Hadi berkata,  PAS mengharapkan undi kaum Cina dan undi bukan Islam yang lain untuk mengundi PAS dan Gagasan Sejahtera dengan jaminan keadilan dan kemakmuran serta hak masyarakat majmuk tidak dipinggirkan.

PAS, dakwa beliau telah berjaya membuktikan melalui pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan sejak 1990 hingga sekarang, Kerajaan Terengganu 1999-2004 dan Kerajaan Kedah 2008-2013 yang dinobatkan kerajaan paling bersih tanpa rasuah dan diskriminasi kaum.

“Ketika krisis perkauman 13 Mei 1969, negeri kubu PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak berlaku kerana pada waktu itu pimpinan PAS menjaga dan memberi jaminan keselamatan kepada orang bukan Islam,” katanya. –Sarawakvoice 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru