Friday, August 12, 2022

Naib Presiden PBB ikrar pikul amanah, sokong agenda perjuangan Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING:  Empat Naib Presiden Parti Pesaka  Bumiputera Bersatu (PBB) Sayap Bumiputera yang baru dinobatkan sebagai pemenang Sabtu lalu berikrar untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang diletakkan perwakilan di bahu mereka.

Dalam sidang media semalam, mereka juga berikrar untuk menyokong kepemimpinan Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam merealisasikan agenda transformasi beliau.

Pada pemilihan pada Perhimpunan Agung perwakilan PBB Sabtu lalu, Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi meraih 770 undi, diikuti Menteri Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan Dr Annuar Rapaee, 764 undi, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi  sebanyak 719 undi, dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, 698 undi.

Menurut Dr Annuar, dalam pemilihan itu, jelas membuktikan perbezaan jumlah undi yang tidak begitu ketara memperlihatkan perwakilan parti bermuafakat dalam menentukan pemilihan mereka.

Sementara itu, dalam surat penghargaan yang diedarkan semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka itu berkata, sesungguhnya kemenangan itu merupakan kemenangan bersama demi kesinambungan dan perjuangan parti.

“Mudah-mudahan dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya akan dapat merapatkan  lagi perpaduan dan kerjasama kita untuk memikul amanah dalam mempertahankan perjuangan dan keutuhan parti serta khidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pemilihan  Sayap Bumiputera berkenaan, tiga calon yang kecundang, termasuk penyandang Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datuk Talib Zulpilip.

Dua lagi calon lain ialah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif dan Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail.

Bagi Sayap Pesaka, tiga yang dipilih tanpa bertanding ialah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Roland Sagah dan Datuk Gerawat Gala. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru