Monday, December 5, 2022

Alex kini Setiausaha Agung baharu PBB, BN Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Linggi Tun Jugah atau “Alex” semalam telah dinamakan sebagai Setiausaha Agung baharu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melahirkan rasa terharu akan kepercayaan yang digalaskan kepadanya itu.

“Saya memerlukan sedikit masa untuk mendalami tugas dan tanggungjawab baharu ini, agar dapat menjayakannya dengan lebih berkesan dan yakin,” katanya yang sebelum ini merupakan salah seorang daripada Naib Presiden PBB kuota Pesaka.

Menjawab soalan, beliau berkata, sebagai orang lama dalam parti, malah cucu kepada antara pengasasnya, Tun Jugah Barieng, parti ini selama ini agak stabil biarpun pernah berhadapan sedikit kocak gelombang.

“Semua ini memerlukan pengalaman yang relevan dan pendedahan yang betul untuk menanganinya.

Katanya, beliau yakin parti ini akan terus stabil dan aura kestabilannya dapat dirasai dalam perhimpunan agung yang baharu berlangsung.

“Dengan sokongan penuh kepada Presiden dan kebanyakan pemimpinnya menduduki jawatan penting, perhimpunan ini amat menggalakkan.

“Malah situasi perhimpunan yang menyaksikan hanya jawatan Naib Presiden Bumiputera ditandingi, adalah sesuatu yang luar biasa.

Dengan trend terbaharu ini, katanya, beliau yakin masa depan parti akan lebih kohesif, manakala laungan harapan pimpinan ketika perhimpunan akan disampaikan serta meresap kepada ahli di semua peringkat.

“Setiap satu daripada kita akan memberikan Presiden sokongan padu, bukan hanya pada musim pilihan raya.

“Parti ini akan terus menjadi parti tulang belakang Kerajaan Negeri dan menjadi signifikan kepada pembangunan negeri ini.

Mengulas lanjut tentang perhimpunan tersebut, beliau menyifatkan banyak perkara baharu diperolehi.

“Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menggariskan beberapa panduan untuk Sarawak kekal relevan di peringkat global, termasuk menghadapi era digital dan keupayaan untuk melakukan pencapaian di luar kebiasaan,” tambahnya.

Beliau menggantikan Menteri Utiliti Negeri, Datuk Seri Stephen Rundi Utom yang kini dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden yang baharu. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru