Saturday, October 8, 2022

Abang Jo kurnia lesen pajakan kepada Petros  untuk terokai dan gali minyak Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) telah diberikan lesen untuk meneroka dan melombong minyak dan gas di Sarawak.

Dalam sidang media selepas penangguhan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) semalam, beliau memaklumkan Petros selepas ini akan memainkan peranan yang aktif tanpa ragu-ragu dalam industri tersebut.

“Di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, Perkara 8(J) yang turut tertakluk di bawah 2(C) ada menyebut tentang permit dan kelulusan untuk melombong adalah di bawah Senarai Negeri.

Peruntukan senarai tersebut termasuk sumber mineral, lombong, perlombong, minyak, medan minyak, pembelian, penjualan mineral, minyak dan sebagainya.

“Ini bermakna lesen adalah terletak di bawah Kerajaan Negeri dan usaha berkaitan minyak dan medan minyak adalah di bawah Senarai Negeri.

“Oleh itu, berdasarkan peruntukan tersebut dan berdasarkan rang undang-undang kita sendiri iaitu Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (yang tidak pernah dipinda), saya telah memberi lesen dan pajakan perlombongan di bawah Seksyen 27 kepada Petros.

Menjawab soalan media, beliau berkata, syarikat petroleum negara, Petronas juga perlu memohon lesen dan pajakan di Sarawak, dan mematuhi undang-undang negeri ini.

“Jika tidak, mereka boleh mencari negeri lain untuk melaksanakan aktiviti perlombongan mereka.

“Yang penting mereka perlu berunding dengan kita.

“Ini merupakan kali pertama Kerajaan Negeri menguatkuasakan peraturan ini,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Petros telah pun dilantik baru-baru ini.

Individu yang tidak dinamakan itu memiliki pengalaman yang luas dalam sektor minyak dan gas di negara ini. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru