Saturday, October 23, 2021

BN Sarawak tiada pilihan melainkan terus sokong Najib dalam PRU-14, kata Abang Jo

Mesti baca

KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tiada pilihan, melainkan terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kita mahu beliau terus menjadi Perdana Menteri. Ini ikrar kita. Apabila kita berikrar, kita akan kotakan ikrar kita,” kata Presiden PBB itu sambil menegaskan, kepemimpinan  parti komponen lain Barisan Nasional (BN) di Sarawak juga berpegang kepada prinsip demikian, kerana itulah kualiti kepemimpinan mereka.

Beliau berkata hal ini demikian kerana Najib telah sekian lama membantu Sarawak, sejak menjadi Menteri Pendidikan dan Menteri Pertahanan  termasuk membantu orang Penan dan meluluskan kewujudan beberapa buah universiti swasta termasuk Universiti Curtin di Miri dan Universiti Swinburne di Kuching.

Sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009, katanya, Najib telah berkunjung sebanyak 59 kali ke negeri ini dan telah melawat 126 tempat.

“Inilah pemimpin yang sangat-sangat sayang kepada Sarawak,” katanya sambil mendapat tepukan para perwakilan di Perhimpunan Agung PBB Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.

“Beliau tidak datang dengan tangan kosong. Beliau bawa oleh-oleh untuk Sarawak,” katanya sambil merujuk kepada projek Lebuh Raya Pan Borneo yang berharga RM14 bilion dan kesediaan Najib menyerahkan Empangan Bakun kepada Sarawak.

Beliau juga memberi jaminan kepada Najib  bahawa PBB akan menyapu bersih kesemua 14 kerusi yang diwakili PBB.

Kebetulan ini merupakan perhimpunan ke-14 PBB yang mewakili 14 kerusi, dan bakal berdepan PRU ke-14. Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan pada PRU lalu, BN memenangi 25 kerusi.

Abang Johari berkata, Perdana Menteri mempunyai kaitan dengan Sarawak kerana antara Najib dan beliau, bapa mereka sama-sama menandatangani Perjanjian Malaysia pada 1963.

“Kalau bapa dah tandatangani, takkan anak tak mahu ikut kata bapa,” katanya.

Tun Abang Haji Openg dan Tun Abdul Razak merupakan antara tokoh yang menandatangani perjanjian penting di London  itu 55 tahun lalu. — Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru