Tugas ahli pilih pemimpin cemerlang dalam PBB

Dr Awang Azman Awang Pawi

Sempena perhimpunan agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berlangsung dari 8 hingga 11 Februari ini, maka dikemukakan jenis-jenis kepemimpinan politik yang dapat dikongsikan kepada khalayak pembaca agar mendapat pencerahan mengenai bentuk kepemimpinan politik yang ada.

Seterusnya, perwakilan dapat lebih menilai secara rasional dan melihat kepentingan dan kesesuaiannya.

Lazimnya, asas memahami ini merupakan kursus asas dalam mana-mana kursus perkaderan parti-parti politik agar melahirkan kepemimpinan pelapis dan ahli baru yang diterapkan dalam  peringkat cawangan, bahagian atau kepemimpinan tertinggi.

Ia semacam garis panduan untuk disemarakkan untuk menggilap kefahaman mengenai bentuk kepemimpinan yang ada serta menambah baik apa-apa yang perlu bagi memperkasakan kekuatan parti agar dapat memberikan sumbangan yang lebih efektif kepada masyarakat.

Kepemimpinan karisma

Pemimpin karisma berasal daripada istilah ilmu teologi yang bermakna  bakat anugerah tuhan.  Weber menggunakan  istilah karisma  merujuk kepada  kualiti-kualiti yang ada  dalam personaliti seseorang itu yang berbeza dengan  individu biasa.  Pemimpin karisma dalam kajian  Weber melihat faktor personaliti yang ada pada Hitler hingga dapat mempengaruhi rakyat Jerman untuk menyertai perang dunia dan obses dengan personaliti dan kehebatan Hitler.

Sir Winston Churchill,  orator yang hebat menggunakan ucapan di radio dapat  memulihkan keyakinan rakyat daripada ketakutan  dengan kadar segera di England selepas tentera Jerman mengebom England.

Di Indonesia personaliti politik yang hebat dan dianggap berkarisma ialah  Soekarno. Karisma tidak dapat diwarisi  sebagaimana dapat dilihat seperti Megawati yang  tidak dapat  dianggap berkarisma seperti bapanya Soekarno.

Ciri pemimpin politik karisma ialah dapat mempengaruhi pemikiran rakyat hingga rakyat begitu terpesona dengan aura pemimpin tersebut.

Pemimpin karismatik inilah diharap rakyat untuk menyelesaikan isu besar apabila rakyat atau masyarakat dilanda masalah besar. Bagi seseorang ahli politik berkarisma setiap kata-kata akan dinanti-nantikan kerana lazimnya pidato hebat dan berjaya memukau khalayak pendengar. Sering kali kata-katanya dirujuk dan menjadi kata-kata bestari.

Kepimpinan  transcational

Gaya kepimpinan ini lebih menekankan aspek  gaya pengurusan untuk  bertindak  mencapai matlamat tertentu  yang mewakili nilai, motivasi, aspirasi dan pengharapan  antara yang dipimpin dengan pemimpin itu sendiri. Ia bergerak selaras dengan struktur parti atau organisasi yang sedia ada.

Kepimpinan ini sering tawar- menawar dengan penyokongnya dengan memberikan ganjaran jawatan politik, kedudukan strategik atau apa-apa yang penyokongnya inginkan.
Apabila tawar-menawar  ia seakan-akan dapat membawa sumbangan dalam hubungan  dua hala dan masyarakat.

Teori pertukaran nilai dalam ilmu sosiologi relevan untuk memahami bentuk kepimpinan ini. Dalam proses tawar-menawar ini, aspek pergantungan, ganjaran dan pengikitirafan sumbangan menjadi asas dalam meraih sokongan dalam bentuk kepimpinan ini.

Apabila diumumkan projek mega, misalnya, pengikut menyambutnya dengan gembira akan  dapat manfaat daripada projek tersebut. Pada masa yang sama, ia dapat membantu pembangunan dipercepatkan dengan kerjasama strategik sebegini.  Pokoknya, kedua-dua pihak mendapat manfaat besar.

Pada dasarnya, pemimpin jenis ini menghargai nilai struktur dan peraturan namun tidak sesuai  untuk situasi yang memerlukan idea-idea  berharga dalam bentuk kreativiti dan inovasi.

Kepimpinan Modifikasi

Calon kepimpinan ini  dikenali sebagai kepemimpinan situasi dan modifikasi kerana gaya kepimpinan ini menyesuaikan  situasi yang ada dengan  keperluan parti atau institusi.
Kepemimpinan ini tidak memerlukan  kemahiran yang spesifik tentang aspek kepemimpinan.  Sebaliknya, cuma perlu menyesuaikan kepemimpinan dengan keperluan parti.

Kepemimpinan jenis ini misalnya berlaku apabila  seseorang pemimpin itu meniru gaya kepimpinan Susilo Bambang Yudhono, iaitu mantan presiden Indonesia kemudian menukar  gaya kepimpinan kepada gaya Jokowi, iaitu presiden Indonesia masa kini.  Apabila dirasakan kurang sesuai dan mulai kurang popular misalnya, ditukarkan pula kepada gaya kepimpinan Obama.

Tidak lama kemudian misalnya, untuk memenangi pilihan raya pemimpin jenis ini menggunakan khidmat juru kempen Trump pula bagi memastikan agar dapat kemenangan yang tidak diduga rakyat.

Kesemua ini dilakukan untuk memenuhi perubahan dalam parti, kehendak perwakilan atau keperluan rakyat dapat diberikan secara terbaik.

Pemimpin berjiwa ini sentiasa memahami situasi semasa untuk melakukan perubahan agar diterima oleh perwakilan, parti dan rakyat.

Sekiranya usahanya gagal membaca kehendak rakyat, maka ia akan dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya atau tewas pemilihan umum.

Terdapat banyak lagi jenis kepemimpinan politik yang boleh dijadikan kerangka penilaian, disesuaikan  dan ditafsirkan akan keperluannya.

Apa pun bentuk dan jenis kepimpinan yang ada, kepemimpinan cemerlang ialah pemimpin yang peka dengan naluri rakyat dan memberikan  yang terbaik kepada rakyat.

Pada masa yang pemimpin cemerlang ialah pemimpin yang berupaya melahirkan lebih ramai lagi pemimpin di bawah kepemimpinan mereka agar dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan yang sedia ada. Selamat Bersidang!

*Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.