Monday, November 28, 2022

ATM bersedia hadapi sebarang kemungkinan semasa PRU14

Secara Rawak

PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan ketenteraman awam semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Beliau berkata, semua anggota tentera sudah bersedia untuk dikerahkan bagi menjaga keharmonian serta kelancaran proses PRU14 dan akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain.

“Pihak kami mempunyai segala perancangan bagi menghadapi apa jua keadaan semasa PRU14 menerusi latihan selalu dijalankan supaya ketenteraman awam dapat dikawal,” katanya dalam sidang media selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 184/17 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak ATM telah membuat persediaan bagi menjalankan undi awal untuk PRU14 yang akan datang dan mengenal pasti beberapa kem yang akan dijadikan pusat mengundi.

“Buat masa ini saya masih belum mendapat senarai lengkap bagi pusat mengundi kerana kami masih lagi dalam proses untuk memilih mana-mana kem yang bersesuaian atas kordinasi pihak Surahanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, sebanyak 1,697 perajurit muda lelaki telah menamatkan latihan enam bulan bermula Ogos tahun lepas dan kesemua mereka akan diserap ke pelbagai kor Tentera Darat Malaysia selepas ini.- Bernama

Foto Markas Tentera Darat Malaysia

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru