Sunday, September 25, 2022

Syarikat upah pekerja berusia lebih 60 tahun disaran kemuka cadangan dapatkan insentif tertentu

Secara Rawak

CYBERJAYA: Syarikat-syarikat yang mengupah pekerja berusia lebih 60 tahun disaran mengemukakan cadangan untuk mendapatkan insentif tertentu, kata Pengerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Mohd Irwan, yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata mengambil pekerja yang berusia lebih 60 kembali bekerja akan membolehkan golongan muda meneroka aktiviti lain yang boleh membawa inovasi kepada negara selain mewujudkan perangkuman sosial.

Menurutnya, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka yang berusia lebih 60 tahun itu telah bekerja sepanjang hayat mereka dan kadang-kadang, duduk di rumah akan menjadikan mereka tertekan.

“Jadi kita boleh membawa mereka bekerja di sektor-sektor tertentu,” katanya semasa pelancaran Hari Impak Keusahawanan Perangkuman Sosial dan Dinamik Malaysia (MasSIVE) MaGIC, di sini, Khamis.

Mohd Irwan berkata menjelang akhir tahun ini penggunaan teksi autonomi akan dilaksanakan di Cyberjaya dengan kereta pertama telahpun berada di kampus MaGIC.

MaGIC dalam satu kenyataan berkata Hari Impak MasSIVE menyediakan ruang bagi usahawan, korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor awam serta orang ramai untuk berkumpul dan menyertai dalam inisiatif kerjasama yang boleh mewujudkan impak sosial dan ekonomi.  — BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru