Saturday, December 3, 2022

Selepas tahan Shoffi, polis kesan penyanyi didakwa cemar dadah dalam minuman Farid Kamil

Secara Rawak

PETALING JAYA: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat mengesahkan penyanyi kumpulan nasyid dihubungi bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Panggilan terhadap penyanyi terbabit berkaitan laporan polis yang dibuat pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari 31 Januari lepas.

Fadzil pada sidang media selepas Majlis Penutup Karnival Sukan Piala Ketua Polis Negara 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada Khamis berkata, penyanyi berkenaan akan hadir dalam tempoh terdekat.

Sementara, seorang lagi penyanyi daripada kumpulan R&B tidak dapat dihubungi kata Fadzil.

Sebelum ini Farid Kamil dikatakan membuat laporan polis mendakwa dirinya dianiaya tiga rakan artis yang mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga beliau berkelakuan “ganas” di Balai Polis Kota Damansara Januari lepas.

Sementara, menurut mStar, pelakon KL Gangster Mohamad Shoffi Jikan, 48, ditahan pada Selasa malam ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara berkaitan laporan polis Farid.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din Said mengesahkan penahanan tersebut dan mendapati Shoffi positif ganja.

Shoffi direman lama tiga hari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Farid sebelum ini dikenakan lima pertuduhan termasuk menampar anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM12,000 pada 16 Januari.

Selain itu, Farid juga didakwa memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badan pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan jaminan RM3,000. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru