Tuesday, August 16, 2022

Saya genggam doa dan harapan penduduk luar bandar – Julaihi

Secara Rawak

KUCHING: “Saya membawa harapan dan doa rakyat luar bandar dan pesisir.

“Kerana itu saya perlu berada di kerusi Naib Presiden, agar suara mereka dapat didengari oleh pimpinan negeri,” kata calon Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, suara akar umbi di luar bandar amat penting kerana merekalah penyumbang terbesar kepada kemakmuran dan kejayaan parti ini.

“Atas tangis dan tawa rakyat luar bandarlah maka kita dapat memperoleh mandat dengan cukup bergaya.

“Justeru amat wajarlah mereka diwakili dalam posisi sepenting ini,” katanya.

Julaihi yang juga Menteri Muda Pesisir menambah, beliau yakin dapat menggunakan sepenuhnya peranan sebagai Naib Presiden untuk melaksanakan amanah ini.

“Kita mahu kawasan-kawasan yang dahulunya terpencil ini dibangunkan, dan dirangkaikan dengan konektiviti.

“Perangkaian ini akan membantu menyuburkan ekonomi,” jelasnya lagi.

Sebagai anak luar bandar, beliau dapat menyelami dan merasai denyut nadi masyarakat luar bandar dan yakin dapat menggunakan kedudukannya dalam parti dan kerajaan untuk mempengaruhi pembangunan yang diimpikan.

“Sokongan kepada PBB dari dahulu dan kini … kekuatannya adalah di luar bandar sama ada di pesisir mahupun pedalaman,” tambahnya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menambah, pertandingan pada kali ini cukup mencabar kerana semua mata tertumpu kepadanya.

“Tetapi saya percaya kepada kematangan ahli parti dan keinginan mereka untuk melihat parti ini diwakili secara inklusif,” katanya lagi.

Selain Julaihi, seorang lagi penyandang ialah Menteri Di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru