Madu dalam saringan dalam PBB

Peralihan dan perubahan kuasa dan kedudukan jawatan dalam mana-mana parti politik adalah sesuatu yang lumrah. Parti perlu berubah dan melakukan transformasi termasuk dari segi kepemimpinan tertinggi, bukan sahaja pada peringkat presiden tetapi juga naib presiden dan majlis tertinggi.

Hanya dengan itu, dinamisme dan dinamika parti dapat dipelihara bagi memungkinkannya relevan dan bergerak ke hadapan, menghadapi segala cabaran baharu ekoran perubahan landskap politik, sosial, ekonomi dan seumpamanya di peringkat tempatan, nasional, regional dan global.

Lagi, apabila pemilihan dan pertandingan berlaku untuk jawatan naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sayap Bumiputera dalam perhimpunan parti kali ini, ia bukan sahaja perlu dilihat dalam konteks demokrasi yang masih segar dalam parti  itu. Sebaliknya, sebagai usaha pragmatik untuk meremajakan parti.

Pertandingan ini juga menjadi medan terbaik untuk melihat kemampuan diri setiap individu dalam memimpin, sama ada diterima atau tidak, terutama dalam mengangkat suara  ahli dalam parti yang telah banyak berjasa kepada 2.7 juta rakyat Sarawak itu.

Pemimpin datang dan pergi silih berganti, tetapi parti kekal disebabkan kesediaan pemimpin  kanan dan veteran untuk memberi peluang kepada pemimpin lain mengambil tempat. Kestabilan dan keharmonian dalam parti perlu terus dipelihara. Peristiwa Ming Court 1987 perlu menjadi iktibar terbaik.

Ketertiban dalam kesemua peralihan itu sebenarnya antara lain membuktikan bahawa wujud kemantapan, kekuatan dan perpaduan jitu dalam parti tulang belakang BN Sarawak itu.

PBB mempunyai 14 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen, diwakili semua kaum, dan 45 kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri. Hal ini membuktikan kekuatan dan kemantapannya. Dalam pilihan raya umum (PRU) 2013 pilihan raya  negeri 2016, PBB menang semua kerusi. Untuk PRU kali ini, PBB dijangka tidak berdepan masalah besar untuk memenangi semua kerusi berkenaan.

Tidak seperti peralihan kuasa  dalam sesetengah parti politik di negara ini dan di luar negara, di sesetengah negara, pemilihan dan peralihan kuasa dalam PBB berjalan dengan lancar. Maka untuk pertandingan kali ini, ia boleh disifatkan sebagai partandingan dalam keluarga.

Itulah keistimewaan PBB dengan kepemimpinannya yang sedar akan implikasinya jika mereka tidak berpegang kepada tradisi parti.

PBB yang lahir hasil gabungan Parti Bumiputera dan Parti Pesaka pada 1973 sedar akan hakikat petapa tradisi dan sejarah parti perlu dipelihara dan dipertahankan, selain perlunya elemen dan nafas baharu disuntik bagi mendinamikakan parti.

Paling asas ialah sokongan dan dukungan terhadap Presiden parti, Datuk Patinggi  Abang Johari Tun Openg yang menerajui parti ekoran tiada pertandingan, susulan sokongan padu akar umbi terhadap kepemimpinan beliau.

Malah, hasil kajian penulis ketika beliau mula memegang jawatan itu Januari 2017, 92 peratus rakyat Sarawak menyokong  pemilihan beliau. Ini satu angka yang cukup tinggi, sekali gus membuktikan keyakinan rakyat berbilang kaum di Sarawak terhadap kepemimpinan beliau.

Abang Johari bukan sahaja perlu menerima sokongan padu rakyat, tetapi juga semua peringkat pemimpin dan ahli dalam parti dan komponen BN lain.

Bagi menggerakkan PBB ke hadapan, beliau perlu didukung barisan kepemimpinan di peringkat timbalan, naib presiden kanan, naib presiden dan ahli majlis tertinggi serta seluruh ahli yang dapat memahami aspirasi dan wawasannya.

Calon terbabit juga perlu punya komitmen jitu untuk memastikan segala dasar, idea besar dan langkah yang diambil oleh Presiden parti dan Ketua Menteri keenam  Sarawak itu diterjemahkan dan dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.

Abang Johari merupakan pemimpin transformasi yang bakal membawa perubahan besar kepada Sarawak  terutamanya melalui ekonomi digital serta keutamaannya memastikan kebajikan dan kepentingan penduduk di luar bandar terpelihara.

Kepemimpinannya setakat ini menyerlahkan idea segar, keberanian, ketelusan, integriti,  dan wawasan mendalam, dengan mengutamakan rakyat pelbagai kaum berasaskan prinsip keterangkuman.

Dasarnya adalah berorientasikan rakyat, dengan kuasa digunakan untuk mengubah nasib rakyat dan Sarawak.

Dalam konteks inilah, amat penting bagi perwakilan untuk memilih empat orang naib presiden yang punya kriteria dan kualiti yang diperlukan untuk membawa parti ke hadapan di tengah cabaran sosiopolitik yang semakin hebat.

Mereka yang menawarkan diri untuk jawatan naib presiden kali ini ialah Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Dr Annuar Rapaee, Datu Len Talif Salleh, Dr Abdul Rahman Junaidi dan Dr Abdul Rahman Ismail. Dua penyandang yang mempertahankan kerusi yang menawarkan empat kekosongan ialah Datuk Talib Zulpilip dan Datuk Julaihi Narawi.

Terdapat empat kekosongan, dan pasti perwakilan PBB akan memilih yang terbaik daripada calon yang bertanding itu.

Mereka inilah yang bakal mempertahankan kepemimpinan tertinggi parti, selain memastikan parti terus dapat bertahan dan bergerak ke hadapan.

Untuk itu, calon yang terbaik perlu ditempatkan di jawatan penting itu – iaitu calon yang memiliki kecerdasan dan kecergasan, kearifan dan kebijaksanaan, daya intelektualisme dan kepemimpinan yang tinggi. Juga, pemimpin yang dilihat mampu menyuarakan kepentingan parti dan rakyat.

Selari dengan sistem demokrasi dalam parti, sudah pasti perwakilan lebih arif siapa yang perlu diberi amanah dan tanggungjawab untuk menduduki kerusi berkenaan.

PBB memerlukan pemimpin masa depan yang berani, cerdas, mesra rakyat, transformatif, gigih, dan dapat mempertahankan parti daripada serangan musuh.

Sudah pasti apabila perwakilan menentukan calon naib presiden nanti, mereka akan memilih calon yang memiliki kearifan dan wawasan untuk membawa parti dan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi demi kemakmuran, kesejahteraan dan masa depan rakyat Sarawak.

Penulis ialah penganalisis politik yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak.