Abang Johari: RM8 bilion untuk selesaikan masalah bekalan air di Sarawak

0
3

KUCHING: Ilmu, pendekatan, peralatan dan perkakasan yang betul diperlukan bagi membolehkan pemimpin menggerakkan parti dan negeri ini ke hadapan, kata Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dengan landskap sosiopolitik dan media yang sudah jauh berubah, pemimpin muda dan pemimpin pelapis perlu memiliki ilmu untuk memastikan agenda parti dan negeri dapat dicapai.

“Kita perlu pemimpin yang inkslusif dari segi kepentingan agama dan kaum Pemimpin yang ada perlu mengambil kira kepentingan semua kaum di negeri ini,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, hari ini.

Sambil menekankan pentingnya PBB bergerak mengikut kepentingan Sayap Pesaka dan Bumiputera, Ketua Menteri berkata, PBB merupakan wadah terbaik untuk menggerakan masyarakat dan negeri ini ke hadapan.

Untuk itu, beliau menekankan pentingnya pemimpin berjuang atas landasan keikhlasan dan penuh integriti untuk membantu rakyat.

“Kepemimpinan berkualiti perlu dipertahankan,” katanya.

Menurut Abang Johari lagi, sesebuah parti diukur dari segi apa yang dilakukannya untuk ahli dan rakyat.

“PBB telah banyak berjasa dan menyumbang untuk negeri Sarawak. Semangat perjuangan pemimpin terdahulu perlu diteruskan bagi membolehkan kita mentransformasikan Sarawak ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Abang Johari yang menerajui negeri ini sejak 13 Januari tahun lalu, menekankan kesalingrangkaian dari segi digital, fizikal dan bekalan air.

Dari segi digital, beliau menyalurkan RM1 bilion untuk membina 5,000 menara telekomunikasi bagi memungkinkan capaian jalur lebar dan memastikan ekonomi digital yang diperkenalkannya direalisasikan.

Dari segi fizikal, selain Lebuhraya Pan Borneo, beliau turut memastikan negeri ini mempunyai jalan raya dan jambatan yang baik untuk menghubungkan penduduk, termasuk di pedalaman dan pesisiran di seluruh negeri.

Manakala dari segi bekalan air, peruntukan RM1 bilion disalurkan untuk melaksanakan fasa pertama sistem grid air negeri.

Beliau mengumumkan untuk sistem grid air, bagi memastikan bekalan air bersih dinikmati oleh penduduk, sebanyak RM7 bilion hingga RM8 bilion dijangka disalurkan oleh kerajaan.

“Ini jalan penyelesaian untuk masalah bekalan air. Memang kosnya cukup mahal, tetapi kita perlu usahakan untuk mencari wang bagi tujuan itu. Kita perlu cari formula. Saya ada formulanya,” katanya tanpa mengulas lanjut. –Sarawakvoice