PULAU PINANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu menyifatkan Kerajaan DAP Pulau Pinang menyalahgunakan kuasa apabila membuka pusat khidmat dan melantik wakil baharu di kawasannya.

Yee Cheu berharap penduduk negeri ini khususnya di Tanjung Bungah menilai secara adil tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap beliau dalam pilihan raya umum akan datang.

Wakil rakyat DAP itu berkata, tindakan tersebut tidak wajar memandangkan beliau masih lagi merupakan wakil rakyat yang dipilih secara sah oleh penduduk di Tanjung Bungah.

Menurutnya, tindakan itu juga tidak adil kepada pengundi khususnya penduduk di Tanjung Bungah yang memilih beliau sebagai wakil rakyat sah pada pilihan raya umum lalu.

“Sepatutnya saya dibenarkan untuk terus berkhidmat kepada rakyat sehingga penggal Parlimen berakhir kerana mereka memilih saya sebagai wakil rakyat mereka sehingga tempoh itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Malah, tambahnya, beliau juga masih lagi merupakan ahli dan wakil rakyat DAP sehingga Parlimen dibubarkan sekali gus perlu dibenarkan untuk berkhidmat kepada rakyat yang memilihnya.

“Saya masih wakil rakyat yang sah yang dipilih secara demokrasi menerusi sistem pilihan raya umum oleh penduduk Tanjung Bungah. Jadi mengapa saya diketepikan?

“Sebelum ini peruntukan untuk pusat khidmat saya ditarik balik dan kakitangan saya dipecat, kini mereka menubuhkan pula pusat khidmat baharu dan melantik wakil bagi menggantikan saya,” katanya.

Ahad lalu Kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan pembukaan pusat khidmat serta wakil baharu bagi penduduk di Tanjung Bungah yang diletakkan di bawah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Sebelum ini beliau turut dinafikan peruntukan tahunan sebanyak RM200,000 bagi pusat khidmatnya selain lima kakitangannya diberi notis pemberhentian kerja dalam tempoh sebulan.

Tindakan ke atas Yee Cheu itu diambil selepas wakil rakyat berkenaan sebelum ini secara terbuka mengumumkan akan meninggalkan DAP sebaik sahaja Parlimen dibubarkan kerana tidak lagi sealiran dengan perjuangan parti tersebut.–Sarawakvoice