Tuesday, June 28, 2022

Salleh: UMNO ultra populis, demokratik, Islamik

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bendahari UMNO Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti yang bersifat ultra populis, demokratik dan Islamik.

Katanya, UMNO mempunyai resepi yang tersendiri dalam memastikannya terus gagah dan bertahan hingga kini yang memasuki usia ke-72 tahun.

“Dikatakan ultra populis kerana UMNO peka kepada keperluan rakyat, memahami aspirasi rakyat, menjaga hubungan baik dengan parti komponen, melindungi rakyat semua kaum, membantu rakyat miskin dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya sskeruak.blogspot.com.my di sini, hari ini.

“Bukan hanya itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sekarang, UMNO telah menjadi lebih baik. Kepimpinannya adalah demokratik dan Islamik,” ujarnya.

Kata Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, UMNO bersifat demokratik kerana Najib boleh menerima perbezaan politik dan tidak pernah ada dalam rekod kepimpinannya yang rakyat mati atau cedera kerana perbezaan parti.

 

Manakala Islamik kerana beliau sedia mengetepikan perbezaan politik dengan Pas demi kepentingan Islam dan menjalin hubungan baik dengan kerajaan Pas Kelantan demi kesejahteraan orang Melayu Islam di negeri itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia itu lagi.

“Najib juga memperkenalkan Indeks Syariah, pertama seumpamanya di dunia untuk menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta,” jelasnya.

Menurutnya, hasil usaha kerajaan ini menunjukkan Skor Indeks Syariah Malaysia bagi tahun 2017 adalah 76.06 peratus, meningkat 0.64 peratus berbanding skor pada 2015 iaitu 75.42%.

“Di bawah Najib juga, UMNO semakin mantap membela raja-raja Melayu, dan mempertahankan bangsa Melayu dan Bumiputera,” ujarnya.

Salleh turut berkeyakinan UMNO hari ini ialah parti hebat yang akan memastikan Melayu tidak hilang di dunia, malah kekal maju dan progresif.

“Semua ini boleh dicapai kerana UMNO di bawah kepimpinan sekarang adalah parti demokrasi ultra populis yang mendapat sokongan padu majoriti orang Melayu dan rakyat Malaysia,” ujarnya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru