Tuesday, October 4, 2022

MH370 timbulkan konspirasi baru apabila kapal pencari hilang misteri 3 hari dari radar

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kehilangan pesawat Malaysia Airline MH370 masih kekal misteri.

Masih belum ada sebarang tanda berkaitan jejak pesawat malang yang hilang 8 Mac 2014 dalam perjalanan Kuala Lumpur-Beijing itu, walaupun Seabed Constructor sudah beroperasi 10 hari mencarinya di Lautan Hindi.

Kini, kehilangan MH370 yang membawa 239 penumpang itu memasuki babak misteri baru sehingga mencetuskan spekulasi dalam talian.

Spekulator di internet bertanya apabila laporan kemas kini minggu kedua pencarian itu tidak menyebut butiran berlaku dalam tempoh 1-4 Februari ketika Sistem Pengenalpastian Automatik (AIS) kapal itu ditutup.

Menurut The Guardian, spekulasi dalam talian mengungkitkan syarikat Amerika Syarikat, Ocean Infinity hanya bersikap diam dan tidak memberikan penjelasan berkaitan tempoh tiga hari antara 1-4 Februari apabila Seabed Constructor mematikan AIS.

Seabead Constructor dilaporkan “terputus hubungan” selama 80 jam minggu lepas selepas AIS kapal itu tertutup secara misteri dan tidak hilang dari radar satelit.

Menurut The Guardian, para konspirator menuduh Seabed Constructor telah melencong untuk mendapatkan harta karun yang terbenam.

Sesetengah konspirator berpendapat kapal penjejak itu mengalami kerosakan.

Pemerhati lain mencadangkan AIS mungkin tidak berfungsi atau dimatikan semasa memeriksa kedua-dua titik geologi yang menarik demi mengelak spekulasi bahawa pesawat itu telah ditemui.

Selepas tiga hari hilang jejak misteri pada radar, Seabed Constuctor muncul kembali pada perjalanan berhenti di pelabuhan Fremantle di Australia.

Kapal penjejak itu dijadual meninggalkan Fremantle dan kembali ke kawasan carian pada 12 Februari ini.

Seabed Constructor memulakan pencarian 22 Januari lepas yang disifatkan sebagai usaha terakhir mengesan MH370.

Malaysia memberi kontrak dan sedia membayar AS$70 juta (RM275 juta) kepada syarikat eksplorasi bawah laut Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity dengan syarat mereka menemui bangkai pesawat berkenaan dalam tempoh tiga bulan.

Sebaliknya, jika gagal Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang kos bagi operasi mencari itu.

Sebelum pencarian semula dilakukan, Ahli Oseanografi dari Badan Sains Nasional Australia (CSIRO) David Griffin optimis berkeyakinan tinggi MH370 yang hilang bakal ditemui dalam tempoh sebulan.

Ocean Infinity mengerahkan kapal Seabed Constructor dari Durban, Afrika Selatan mencari bangkai pesawat sejak 22 Januari lepas.

Ocean Infinity turut membawa lapan kapal selam kecil memeriksa dasar laut dengan peralatan pemindai bagi mendapatkan informasi untuk dianalisis.

Sebelum ini, operasi pencarian MH370 dilakukan oleh pasukan gabungan Australia-Malaysia-China di kawasan seluas 120 kilometer persegi dalam operasi menelan kos ratusan juta dolar menemui jalan buntu dan dihentikan pada Januari 2017.

Setakat ini, operasi pencarian terbesar dan paling mahal dalam sejarah penerbangan moden itu gagal menemui bangkai pesawat. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru