KUCHING: Jumlah mangsa banjir di negeri Sarawak terus melonjak, biarpun Jabatan Meteorologi Malaysia menamatkan Amaran Cuaca Tahap Kuning atau Waspada pada petang semalam.

Menurut jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin, jumlah mangsa kini mencecah 5,562 orang daripada 1,682 keluarga yang ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara.

“Tujuh pusat pemindahan terletak di Bahagian Samarahan, yang menempatkan 1,483 mangsa daripada 448 keluarga di 16 kawasan terjejas.

“Sejumlah 1,227 mangsa daripada 389 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan di Bahagian Serian selepas 12 kawasan di sana terjejas teruk.

Katanya, di Bahagian Sarikei, SMK Julau No 2 diangkat sebagai pusat pemindahan empat keluarga seramai lapan orang dari Rumah Panjang Edward Bunol.

“Bahagian Sibu merekodkan empat pusat pemindahan untuk 24 kawasan terjejas yang menyebabkan 287 keluarga dan 978 mangsa berpindah.

“Di Bahagian Mukah, tiga pusat diaktifkan untuk menempatkan 40 keluarga dan 92 mangsa daripada tujuh kawasan terjejas.

Ismail menambah, lima pusat dibuka di Bahagian Bintulu untuk 1,321 mangsa dan 379 keluarga daripada 39 kawasan terjejas.

“Empat pusat dibuka di Bahagian Limbang, bagi menangani lima kawasan terjejas yang melibatkan 135 keluarga dan 453 mangsa.

Ismail menambah, berdasarkan laporan yang dipanjangkan kepada pihaknya, sembilan kawasan di Lubok Antu, dua di Serian, satu di Beluru, tiga di Telang Usan dan tiga di Marudi turut terjejas.

“Berdasarkan maklumat Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 16 klinik kesihatan di seluruh negeri terjejas pada hari ini.

“Daripada jumlah tersebut, lima tidak beroperasi iaitu Klinik Kesihatan Ulu Teru (Miri); Nanga Taroh (Mukah); Sungai Arip (Sibu); Nanga Tau (Bintulu) dan Sangan (Bintulu). –Sarawakvoice