Tuesday, May 11, 2021

Chong yakin Pakatan Harapan menang, serahkan manifesto PRU-14 kepada kerajaan Sarawak

Mesti baca

PENGERUSI Pakatan Harapan (Harapan) Sarawak Chong Chieng Jen menyerang Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai kurang ikhlas membincangkan isu penyerahan autonomi kepada Sarawak.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa itu berkata rundingan autonomi Sarawak masih berlegar di sekitar fasa kedua berlangsung selama setahun setengah.

Chong pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak pada Selasa menafsirkan hal ini dengan berkata, “jelas menunjukkan kurangnya keikhlasan antara kedua-dua kerajaan (Persekutuan dan Negeri) dalam perkara ini.”

Seharusnya Bagaimanakah Rupa Sebuah Rundingan Yang Ikhlas Itu?

Pembacaan politik Chong mudah, rundingan yang ikhlas bermaksud isu tersebut harus segera dan mengambil masa yang singkat menguruskannya meskipun rundingan tersebut melibatkan “keperluan” undang-undang.

Jadi, selama ini Chong juga bersetuju bahawa isu penurunan kuasa menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) fasa pertama terlaksana sukses diuruskan oleh mantan ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Haji Adenan Satem semasa hayatnya dahulu.

Sehubungan itu, Chong berkata bahawa Harapan Sarawak akan menyerahkan bahagian kedua manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada kerajaan negeri minggu depan.

CHONG CHIEN JEN

Menurut beliau, bahagian kedua manifesto itu merupakan perjanjian baharu pihaknya dengan Kerajaan Negeri, jika Harapan berjaya membentuk
Kerajaan Persekutuan selepas PRU14.

Sebagai nota, ketika seluruh negara mengadakan Pilihan Raya Umum, masing-masing negeri turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bersama-sama menyertai pilihan raya umum.

Kecuali Sarawak, satu-satunya negeri yang menjalankan Pilihan Raya Negeri bagi DUN secara berasingan.

Justeru, justifikasi penyerahan manifesto PRU14 itu bermaksud, Chong sangat yakin bahawa Harapan akan mengambil alih tampuk pentadbiran Persekutuan selepas PRU14, sementara Sarawak dilihat sebagai negeri pembangkang yang masih dikuasai BN pasca-PRU14 kelak.

Menurut Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak, antara kandungan manifesto tersebut ialah pemberian 20 peratus royalti minyak dan gas kepada negeri ini.

Sementara, Sarawak juga turut dapat menikmati pulangan 50 peratus daripada semua cukai yang dikutip kerajaan dari Sarawak.

Begitu juga dengan isu pendidikan dan penjagaan kesihatan dengan Sarawak akan mendapat autonomi penuh negeri ini terhadap pendidikan dan
penjagaan kesihatan.

Semua janji ini dianggap sebagai sebahagian daripada isi yang seharusnya termaktub dalam rundingan fasa kedua tersebut.

Adakah Kerajaan Negeri Bakal Berdepan Kerajaan Persekutuan Dikuasai Harapan?

Ya, adakah kerajaan negeri bakal berhadapan dengan kerajaan persekutuan yang dikuasai oleh Harapan, dan bagaimana kalau tidak?

Semuanya bertolak daripada andaian bahawa Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan berdepan dengan kerajaan persekutuan yang sepertinya “sudah” dikuasai Harapan.

Chong berkata, Harapan sedia menyerahkan bahagian kedua manifesto PRU14 yang ditandatangani pihaknya untuk diaju kepada kerajaan negeri.

Ironis di sini ialah menyedari Harapan masih menjadi pembangkang di peringkat negeri, Chong secara “agresif” mahu membuat janji dengan BN Sarawak bahawa inilah janji baharu mereka untuk Sarawak jika Harapan berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Jelas di sini, Harapan Sarawak “cuba menjadi jaguh” mengajak kerajaan negeri meneruskan rundingan penurunan kuasa dengan kerajaan persekutuan yang baharu.

Sekiranya ini berlaku, seolah-olah kerjanya lebih mudah, pantas dan dapat “memintas” mudah rintangan udang-undang sedia ada!

Chong mesti sudah mengunjurkan bahawa “kerja” yang mereka bayangkan itu menjadi lebih mudah sekiranya kedua-dua kerajaan iaitu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dikuasai Harapan.

Sayangnya, semua itu adalah “andaian” dan “khayalan” yang dibayangkan oleh Chong yang dapat dilihat seperti orang yang sentiasa mahu mengambil kesempatan. Dan bagaimana kalau tidak? — Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru